Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap golongan miskin hujah yang memilih untuk menghina, menyebar sumpah seranah dan maki hamun dalam ruang demokrasi terbuka.
Menurut beliau, perbuatan mereka itu melemahkan usaha membangunkan negara dan meracuni akhlak awam.
"Tetapi saya tetap yakin dan percaya, selagi kita berjalan dengan tekad yang sama, Malaysia akan terus melangkah gagah dan berani menjadi sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani di seluruh dunia," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, tiga tahun perjalanan Malaysia MADANI menyaksikan bagaimana kestabilan politik dan kesepakatan telah membuka laluan kepada dasar serta reformasi yang berani dan pelaksanaan yang jauh lebih teratur.
Menurut beliau, segala pencapaian itu berdiri atas dukungan rakyat pelbagai kaum serta iltizam penjawat awam dan pimpinan yang bekerja tanpa henti demi mengangkat martabat negara.
"Alhamdulillah, ekonomi negara kembali kukuh dengan pertumbuhan antara tertinggi di rantau, ringgit yang mengukuh dan perdagangan melebihi RM2 trilion.
"Malaysia juga hampir menoktahkan kemiskinan tegar, berbaki 0.09 peratus dan insya-Allah dapat diselesaikan awal tahun depan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan terus memperkukuh perlindungan sosial dan kebajikan rakyat menerusi kenaikan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah, STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, serta pelbagai langkah lain untuk meringankan beban rakyat.
Anwar berkata, semua itu dilaksanakan kerana kita mendengar keresahan yang disuarakan.
"Di Sabah dan Sarawak, isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya kini dipantau secara bulanan melalui penyelarasan Persekutuan–Negeri.
"Projek Pan Borneo juga berjalan mengikut jadual, mencerminkan komitmen kita memastikan setiap janji diterjemahkan kepada tindakan," jelasnya.
Menurut beliau, reformasi institusi turut diperhebat melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pembaharuan Parlimen, RUU Ombudsman dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, agar kemajuan negara disokong tatakelola dan integriti yang kukuh.
Pada masa sama, katanya Malaysia bersuara tegas di pentas antarabangsa menuntut keadilan buat Palestin, di samping membuka pasaran baharu di Asia, Afrika dan Amerika Latin bagi mengukuhkan kedudukan kita sebagai negara dagang yang berdaya saing.

0 Ulasan