Pemuda MCA menegaskan bahawa parti itu perlu kekal berpendirian dan berani membuat perubahan besar seiring dengan dinamika politik semasa bagi memastikan ia terus relevan dan mendapat semula keyakinan rakyat.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, jika masih ada dalam kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hanya mementingkan diri sendiri, ibarat “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, maka tindakan terbaik bagi MCA adalah meneroka haluan baharu.
Haluan baharu ini, katanya, mestilah lebih selari dengan realiti politik semasa dan aspirasi rakyat.
"Jika MCA gagal kembali ke landasan perjuangan asal, kami tidak layak mewakili rakyat — dan rakyat berhak terus menolak kami," tegasnya dalam kenyataan sempena Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.
Choo Seong berkata, sebagai sebuah parti politik, MCA tidak boleh lari daripada suara akar umbi yang menjadi teras kekuatan parti.
Beliau juga menyokong penuh Ucapan Dasar Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, yang memberi fokus kepada hala tuju masa depan MCA.
"Penting untuk parti bukan sekadar bangkit, tetapi memperkukuhkan struktur dalaman serta mengembalikan keyakinan rakyat. Fasa sukar yang kami lalui mengajar banyak perkara — siapa kawan sejati, siapa pengkhianat, dan siapa parasit yang hanya memburu kuasa serta kepentingan diri," katanya.
Menurut Choo Seong, sejak kekalahan besar BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), MCA telah melalui proses muhasabah diri dan transformasi yang mendalam, terutamanya apabila politik hari ini berubah pantas, begitu juga kehendak rakyat.
"Sabah, yang dahulu dianggap deposit tetap BN, kini tidak lagi milik mutlak mana-mana parti. Ini realiti politik moden — dinamik, berubah, dan tidak menentu. Tetapi sejarah juga membuktikan bahawa parti yang tewas boleh bangkit kembali," ujarnya.
Di Semenanjung, beliau turut melihat perubahan sokongan, termasuk dalam komuniti Cina, di mana penolakan terhadap sesetengah tokoh dan parti DAP yang dahulunya diagung-agungkan semakin jelas.
Justeru, MCA perlu berani mengambil peluang ini dengan menawarkan hala tuju yang lebih segar, inklusif dan progresif.
"Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara sejak awal, MCA berhak menentukan masa depannya berasaskan semangat demokrasi dan kehendak rakyat. Aspirasi anak muda mesti diberi keutamaan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa generasi hari ini tidak lagi termakan retorik kosong justeru, MCA mesti menjauhkan diri daripada kelompok yang memperdagangkan sentimen agama dan kaum demi meraih sokongan.
"Kita juga mesti menolak politik sempit yang merosakkan keharmonian negara. Walaupun tanpa apa-apa jawatan dan kepentingan dalam Kerajaan Madani, MCA masih boleh berdiri teguh, berjalan tegak dan terus mewakili suara rakyat. Walaupun dilanda badai dari segenap penjuru, MCA tidak pernah tunduk kepada kuasa apatah lagi bersikap melukut di tepi gantang," tambahnya.
Atas kehendak akar umbi dan demi masa depan masyarakat majmuk negara ini, Choo Seong menegaskan MCA mesti memilih haluannya dengan berani — tanpa tunduk kepada mana-mana pihak yang rela terjun ke lembah kehancuran demi kuasa sementara.
"MCA harus memilih rakan yang tahu menghormati sahabatnya, jujur dalam kerjasama, tidak mementingkan diri, berkongsi perjuangan dan matlamat yang sama, serta yang paling penting — sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara."

0 Ulasan