Dua lelaki rakyat tempatan yang disyaki terlibat dalam kes kecurian mentega di dua pasar raya di Serian ditahan polis baru-baru ini.
Kedua-dua suspek, masing-masing berumur 27 dan 32 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah dan harta benda.
Ketua Polis Daerah Serian, Supt. Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, penahanan kedua-dua suspek itu dilakukan susulan maklumat daripada video tular yang tersebar, lantas membolehkan pihak polis menahan mereka bersama kenderaan yang dinaiki.
“Tangkapan dibuat bersabit kes curi dalam pasar raya di Serian dan Tarat pada 13 November dan 29 November yang mengakibatkan kerugian lebih kurang RM2,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan penahanan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serian berjaya merampas enam ketul mentega jenama dan pakaian yang digunakan suspek semasa melakukan kecurian tersebut.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut.
Freddy Bian menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.
"Peruntukan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

0 Ulasan