Polis sedang memburu tiga lelaki yang disyaki cuba mencuri kabel di Jalan B3 Avenue, Oakland Seremban, pada 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 6.10 pagi.
“Tiga suspek lelaki menaiki kenderaan jenis Honda Odyssey berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran JSD3093.
"Suspek melarikan diri sejurus ditegur oleh pengadu yang sedang melalui kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan itu dipercayai palsu.
"Terdapat laporan polis penafian sebaik sahaja menerima notis saman oleh pemilik asal nombor pendaftaran ini.
"Usaha pengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan," ujarnya.
Azahar berkata, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan (KK).
Seksyen 511 KK adalah bagi kesalahan cubaan melakukan kesalahan, di mana hukumannya bergantung kepada peruntukan bagi kesalahan asal iaitu Seksyen 379 KK.
“Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu seksaan bagi kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat,” jelasnya.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah, untuk menghubungi terus di Talian Hotline IPD Seremban 06-6033222.

0 Ulasan