Lelaki ditahan curi arus elektrik, 30 mesin lombong Bitcoin dirampas

 

Seorang lelaki warga tempatan ditahan manakala 30 mesin melombong Bitcoin dirampas dalam operasi membanteras aktiviti kecurian arus elektrik di Balik Pulau, Pulau Pinang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, operasi pemeriksaan dijalankan pada 6 Disember 2025, kira-kira pukul 10.01 malam.

"Polis bersama pihak 'Seal Team' TNB telah membuat pemeriksaan di beberapa buah premis sekitar Jalan Ayer Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang. 

"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut dilengkapi mesin perlombongan Bitcoin yang beroperasi melalui sambungan elektrik tidak sah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, 'Seal Team' TNB mengesahkan berlakunya kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan semakan lanjut mendapati, anggaran kerugian akibat pencurian arus elektrik tersebut berjumlah RM22,744.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas satu kotak dan satu beg putih yang mengandungi pelbagai jenis wayar, serta satu unit modem TP-Link.

Anuwal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengesan mana-mana individu lain yang terlibat," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya yang melibatkan kecurian arus elektrik bagi membantu mencegah kerugian dan menjamin keselamatan komuniti.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan