Lori terjunam masuk Sg Senduk akibat cuba elak langgar motosikal

 

Sebuah lori terjunam ke dalam Sungai Senduk selepas pemandunya mengelak dua motosikal yang didakwa memasuki laluannya secara tiba-tiba di Jambatan Sungai Senduk, Tanah Merah semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, lori terbabit dipandu dari arah Tanah Merah menuju ke Jeli.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan dua motosikal tersebut.

"Ketika tiba di lokasi, dua motosikal dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan lori berkenaan kerana cuba memotong sebuah kereta di hadapan mereka," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagi mengelakkan perlanggaran, pemandu lori menekan brek dan mengelak ke kiri.

"Tindakan tersebut menyebabkan lori terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Senduk," jelasnya.

Lori milik sebuah syarikat di Kepala Batas, Pulau Pinang, mengalami kerosakan teruk termasuk cermin hadapan pecah, bumbung kemek, bampar hadapan kemek, serta pintu kiri dan kanan kemek. 

Tiada kenderaan lain atau harta benda awam terlibat.

Pemandu lori dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan. 

Semasa kejadian, lori tersebut disahkan tidak membawa sebarang muatan.

"Kes diklasifikasikan sebagai kes RTM," tambahnya.

Mohd Haki menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan