Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam sebuah rancangan audio siar baru-baru ini.
Katanya, tuduhan kononnya SPRM digunakan untuk menyiasat calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PKR pada Mei 2025 adalah tidak berasas dan tidak benar.
SPRM menegaskan bahawa siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.
Jelasnya, setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
"Tuduhan bahawa SPRM ‘mengepung rumah’ individu tertentu adalah tidak tepat.
"Dalam kes yang dirujuk, pegawai penyiasat hadir ke kediaman berkenaan bagi tujuan bertemu serta melaksanakan penggeledahan bagi mendapatkan bahan bukti," katanya dalam kenyataan media malam tadi.
SPRM berkata, ia merupakan satu kaedah siasatan yang biasa termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti.
Katanya, selepas pengesahan bahawa individu tersebut tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa.
SPRM menambah, keesokannya, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan.
"Semua tindakan adalah selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan," ujarnya.
SPRM juga menekankan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi yang tersedia, seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.
"Ini adalah mekanisme yang sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku," katanya.
Sehubungan itu, SPRM juga menyeru semua pihak agar tidak membuat tohmahan tidak berasas secara terbuka di media sosial tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

0 Ulasan