Pemuda UMNO tanya MIC mahu pergi mana?

 

Pemuda UMNO mempersoalkan hala tuju sebenar MIC iaitu sama ada kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau menyertai Perikatan Nasional (PN).

Setiausahanya, Hafiz Ariffin berkata, dalam perhimpunan agung baru-baru ini, MIC membuat keputusan untuk keluar dari BN namun kemudian menangguhkannya.

Menurut beliau, selepas itu tular pula surat untuk 'menyertai semula PN' dan perkara itu menyebabkan UMNO dan rakan-rakan lain dalam BN tergores. 

"Mengapa begitu sekali posisi politik yang dibuat? Sedangkan masih ada lagi ADUN dan Ahli Parlimen MIC lahir dari kerjasama BN. 

"Kalau keputusan untuk tidak bersama BN dan menyertai PN semestinya ia akan melanggar akta lompat parti dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang?

"Keluar BN sertai PN, tetapi masih menyokong PMX? Tidak ke pening pendirian sebegini?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Hafiz percaya kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak salah.

Beliau bertanya kepada MIC dan Ketua Pemudanya, K. Arvind ke mana parti itu mahu pergi.

"Mengapa kekal lagi kalau betul mahu pergi jika setiakawan bukan lagi pegangan? Apa yang dinanti?" soalnya

Hafiz berkata, keputusan MIC untuk kekal atau keluar mestilah berteraskan kompas kekuasaan. 

Menurut beliau, konteks kuasa itu meliputi kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, peranan membuat keputusan dalam gabungan politk dan akhirnya adalah jawatan dalam struktur kerajaan.

"Semestinya itulah yang menjadi pertimbangan untuk MIC buat bahkan mana-mana parti pun akan ke arah ini," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan