Sistem pendidikan mesti selari kurikulum kebangsaan - DBP

 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan teras perpaduan negara.

Dalam satu kenyataan media, DBP menegaskan bahawa pendirian tersebut selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

“Pengiktirafan terhadap mana-mana sistem pendidikan yang tidak selari dengan kurikulum kebangsaan, tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama dan tidak menduduki peperiksaan kebangsaan seperti SPM atau STPM, boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memperkukuh perpaduan nasional melalui satu sistem pendidikan yang inklusif dan berteraskan nilai kebangsaan,” kata DBP.

DBP turut menyeru semua pihak agar mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai tunjang perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang identiti dan kedaulatan negara yang wajib dipelihara oleh semua warganegara,” menurut kenyataan itu.

Sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan bahasa kebangsaan, DBP beriltizam untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat umum dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu di semua peringkat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan