Wan Saiful sokong cadangan tubuh Kementerian Pembangunan Bumiputera

 


Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyambut baik cadangan Tan Sri Rais Yatim yang dibangkitkan dalam Konvensyen 153 hari ini berhubung penubuhan sebuah Kementerian Pembangunan Bumiputera.

Menurut beliau, cadangan itu wajar diberi perhatian serius kerana isu pembangunan Bumiputera bukan sekadar soal bantuan atau subsidi, tetapi ia berkait pembinaan keupayaan jangka panjang merangkumi pendidikan, keusahawanan, pemilikan aset, inovasi dan daya saing dalam ekonomi terbuka.

Wan Saiful berkata, ketika ini, pelbagai fungsi berkaitan pembangunan Bumiputera bertaburan di banyak kementerian dan agensi. 

"Akibatnya, dasar sering bertindih, pelaksanaan tidak selaras, dan keberkesanan sukar diukur secara menyeluruh. 

"Sebuah kementerian khusus boleh bertindak sebagai pusat penyelarasan dasar, pemantauan prestasi, dan reformasi pendekatan pembangunan Bumiputera secara lebih strategik dan berfokus," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Namun, beliau enegaskan bahawa kementerian itu mestilah berpaksikan prinsip pemerkasaan, bukan kebergantungan. 

Wan Saiful berkata, pendekatannya perlu beralih daripada bantuan bersifat jangka pendek kepada agenda membina keupayaan sebenar, termasuk memperkukuh kemahiran, akses pasaran, tadbir urus korporat, dan daya saing global usahawan serta profesional Bumiputera.

"Penubuhan kementerian ini juga mesti disertakan dengan petunjuk prestasi yang jelas, ketelusan, dan keberanian melakukan pembaharuan dasar supaya matlamat asal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar diterjemahkan dalam konteks ekonomi moden.

"Saya harap cadangan ini dibincangkan secara terbuka, inklusif dan rasional demi memastikan agenda pembangunan Bumiputera kekal relevan, berkesan dan mampan untuk generasi akan datang," katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan