Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu notis amaran pendudukan secara tidak sah di ladang-ladang Wilayah Terengganu secara profesional dan berlandaskan undang-undang.
Kedua-dua agensi itu mengambil maklum dan memandang serius notis-notis amaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November, 1 dan 2 Disember lalu yang merujuk kepada ladang lot FELDA dan FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
FELDA dan FGV, berpandangan tempoh tiga hari yang diberikan untuk mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman adalah tempoh yang amat ketat, menekan dan sangat terhad atau singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial.
Dalam kenyataan media bersama, FELDA dan FGV menjelaskan, FELDA mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530] yang memberikan mandat dan tanggungjawab langsung untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA).
Selain itu, ia juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474].
FELDA dan FGV kini sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan, termasuk sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang.
“Proses semakan ini dilaksanakan secara teliti melalui audit tanah yang komprehensif dan verifikasi silang dengan data pihak berkuasa negeri bagi memastikan ketepatan dan kelengkapan semua maklumat.
“FELDA dan FGV akan bertindak berlandaskan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta,” jelas kenyataan itu hari ini.
Pembangunan ladang komersial FELDA dan FGV di Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka.
Ekosistem perladangan secara lestari yang melibatkan pengeluaran buah sawit hinggalah kepada pemprosesan buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan oleh anak syarikat FELDA iaitu FGV, turut memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Walaupun mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi, FELDA dan FGV ingin menegaskan bahawa isu ini akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan yang ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan.
Sehubungan itu, mereka sedang meneliti implikasi undang-undang ini secara mendalam dan akan mengambil semua langkah perlu bagi mengurus kesannya terhadap FELDA dan FGV supaya kepentingan peneroka terus terpelihara.
“Pendekatan ini adalah untuk memastikan perlindungan hak setiap pihak yang terlibat, termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang-ladang tersebut.
“Kebajikan pekerja FELDA dan FGV, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahankan sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian,” tegas kenyataan itu lagi.
FELDA dan FGV turut menegaskan bahawa notis-notis amaran tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FELDA Wilayah Terengganu, dan komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa.
Bagaimanapun, notis amaran ini mempunyai implikasi langsung terhadap operasi FELDA dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial yang berkaitan. Impaknya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan.
“FELDA dan FGV kekal optimis bahawa penyelesaian terbaik akan dapat dicapai melalui proses perundangan yang teratur dan semangat kerjasama antara semua institusi kerajaan yang terlibat,” ujar mereka.
FELDA dan FGV beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan.
BACA LAGI
0 Ulasan