Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim amat kecewa apabila berlaku kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.
"Agaknya selepas ini saya patut lantik sarjan sahaja jadi PAT," titah Seri Paduka pada Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Parlimen hari ini. .
Sultan Ibrahim bertitah, kes tersebut hanyalah 'sekelumit daripada segunung'.
Seri Paduka yakin ramai lagi sama ada di Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan sebagainya akan terus diburu sampai jumpa.
"Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran.
"Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah; bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan," titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim bertitah, SPRM mesti jalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Titah Seri Paduka, kerajaan juga perlu menyediakan hakim yang berpengalaman, dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
"Kepada semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.
"Jika awak menyalah guna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah, atau bersubahat melindungi perasuah; awak adalah 'pengkhianat negara'," titah Seri Paduka.

0 Ulasan