Pemuda UMNO Johor melihat cabaran Amanah mengenai isu 'poster boy; sebagai satu lagi gimik politik untuk menutup ketiadaan rekod kerja mereka di Johor.
"Soalnya mudah, apa sebenarnya yang Amanah telah buat untuk rakyat Johor?" kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Syes Mohamed dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, ketika rakyat berdepan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keperluan pembangunan setempat, Amanah memilih bermain persepsi, mencipta sensasi dan mengemis kuasa melalui cabaran murahan.
Mohd. Syes berkata, di Johor, politik bukan pertandingan kuasa atau medan bermain sentimen, tetapi soal keupayaan mentadbir, keberanian membuat keputusan dan keikhlasan berkhidmat.
"Menteri Besar Johor hari ini bukanlah pemimpin yang bermain politik seperti Amanah, tetapi pemimpin yang sentiasa turun lapangan menyusun ekonomi Johor, menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan membina kestabilan negeri.
"Amanah Johor dilihat hanya lebih berpolitik, tetapi lemah soal bekerja untuk rakyat Johor.
"Mereka bercakap soal keberanian, tetapi keliru dengan hala tuju, bergantung kepada parti lain dan gagal menampilkan kepimpinan yang benar-benar diyakini rakyat Johor.
"Pemuda UMNO Johor mahu tanya, siapa pemimpin Amanah di Johor yang boleh ditonjolkan untuk mengemudi Johor?" soalnya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO Johor lebih suka jika Amanah jujur mengakui mereka tiada tawaran sebenar kepada rakyat, lalu cuba mengalih perhatian dengan isu poster boy dan drama politik.
Katanya, Pemuda UMNO Johor ingin menegaskan bahawa UMNO tidak mengemis kuasa.
"UMNO membina kepercayaan melalui kerja dan UMNO menawarkan hasil, bukan lakonan politik," katanya.
Mohd. Syes berkata, rakyat Johor menilai fungsi, bukan bunyi.
"Jika Amanah mahu bertanding secara bermaruah, jawab dahulu satu soalan, apa sumbangan nyata Amanah kepada Johor, selain kenyataan media?
"UMNO Johor akan terus fokus membina negeri dan membela rakyat, bukan terperangkap dalam politik gimik yang kosong," tegasnya.

0 Ulasan