UMNO Johor mendakwa DAP terus menunggang isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi politik.
Ketua Penerangannya, Md. Israk Abdullah memandang serius kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi merangkap pemimpin DAP, Teo Nie Ching, yang kononnya 'kesal' gagal mengiktiraf UEC ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Pendidikan.
Hakikatnya, menurut beliau, isu UEC bukan soal kesal atau tidak, tetapi soal keikhlasan, keberanian politik dan keutamaan kepada sistem pendidikan nasional.
"Selama berada dalam kerajaan, DAP diberi ruang, kuasa dan jawatan. Namun gagal menterjemahkan janji sendiri.
"Kini setelah tidak lagi mengurus pendidikan, barulah nada simpati dan penyesalan dimainkan.
"Ini jelas menunjukkan DAP terus menunggang isu UEC semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Cina, bukan kerana kepentingan sebenar negara," katanya dalam kenyataan media semalam.
Md. Israk berkata, kalau Nie Ching benar-benar ikhlas mahu membina pendidikan Malaysia, mengapa ketika berkuasa dahulu beliau gagal menyelesaikannya.
"Mengapa hanya kuat bercakap selepas kehilangan tanggungjawab?" soalnya.
Lebih mendukacitakan, kata beliau, Nie Ching sepatutnya lebih kesal terhadap kegagalan beliau membangunkan kawasan Parlimen Kulai yang beliau wakili sendiri.
Md. Israk berkata, sehingga hari ini, Parlimen Kulai masih kekal sebagai daerah yang tiada universiti awam, kolej komuniti, sekolah berasrama penuh serta sekolah teknik atau vokasional khas.
"Soalnya, apakah lebih penting berpolitik soal UEC, atau membina peluang pendidikan sebenar untuk anak-anak di Kulai?
"UMNO Johor melihat pendekatan DAP ini sebagai politik persepsi, kuat retorik, dan lemah pelaksanaan," katanya.
Menurut beliau, isu pendidikan tidak seharusnya dijadikan modal emosi dan perkauman, sebaliknya perlu diselesaikan melalui dasar menyeluruh yang menjaga kepentingan nasional, bahasa kebangsaan, perpaduan serta akses pendidikan rakyat.
"Malaysia tidak memerlukan ahli politik yang pandai menyesal, tetapi pemimpin yang berani bertindak ketika diberi amanah.
"UMNO Johor akan terus mempertahankan pendidikan sebagai alat penyatuan, bukan alat politik," tegasnya.

0 Ulasan