FMT minta maaf wartawan tanya soalan singgung sensitiviti kaum

 

Free Malaysia Today (FMT) menegaskan pihaknya tidak mengetahui lebih dahulu niat seorang wartawan yang mengajukan soalan dikatakan berunsur perkauman ketika wacana terbuka menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, bertajuk Gaza Exposes the Complicity of International Actors pada 12 Januari lalu.  

“FMT ingin menegaskan pihak kami tidak mengetahui lebih dahulu niat wartawan tersebut untuk mengajukan soalan itu, dan kami juga tidak bersetuju dengan komen-komennya,” kata Pengerusi Eksekutif FMT, Nelson Fernandez dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, apabila perkara itu menjadi bahan perbincangan di media sosial pada 13 Januari lalu, FMT mengambil tindakan segera dengan memulakan siasatan dalaman yang membawa kepada tindakan tatatertib terhadap wartawan berkenaan.  

“Proses tersebut sedang berjalan dan FMT tidak akan memberikan ulasan lanjut mengenai perkara itu buat masa ini,” katanya.  

Nelson menjelaskan, hasil siasatan mendapati wartawan berkenaan tidak menggunakan perkataan “aparteid” di forum tersebut, berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak di media sosial.  

Bagaimanapun, katanya, FMT mengakui sensitiviti yang terkandung dalam komen dan soalan diajukan oleh wartawan berkenaan, yang telah dikecam sewajarnya oleh Galloway.  

“Sebagai organisasi berita yang bertanggungjawab, FMT ingin menyatakan kami sama sekali tidak melaporkan perkara-perkara sedemikian atau menyokong pertanyaan sedemikian oleh wartawan kami,” ujarnya.  

Nelson turut menyatakan kekesalan atas kesulitan dicetuskan oleh wartawan berkenaan terhadap penceramah forum, penganjur, hadirin, dan rakyat Malaysia secara amnya.  

“FMT kesal atas kesulitan dicetuskan oleh wartawan kami terhadap penceramah forum, penganjur, hadirin dan rakyat Malaysia secara amnya, dan dengan tulus ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya.  

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan