Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mempersilakan Parti Amanah Negara Melaka dan DAP Melaka untuk keluar dari kerajaan negeri Melaka sekiranya mereka ingin berbuat demikian.
Menurut beliau, mereka tidak perlu menunggu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri. Ab. Rauf Yusoh membawa cadangan mengeluarkan Amanah dan DAP dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.
"Kalau kamu rasa berani nak keluar, keluar je tak perlu tunggu mesyuarat Exco kerajaan negeri pun.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan tetap berjalan dengan baik walaupun kamu tiada dalam kerajaan," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Amanah Melaka mendesak Akmal agar berterus terang berhubung desakan untuk membawa parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan tidak menggunakan alasan kononnya ‘garis merah’ Melayu serta Islam telah dilanggar.
Pengerusi Amanah, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat berkata, hakikat sebenar desakan tersebut berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta mengekalkan sabitan kes 1MDB .
Semalam, Dr. Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur mencabar DAP supaya meletak jawatan dalam kerajaan negeri Melaka.
Beliau turut mendesak Perhimpunan Agung UMNO 2025 membuat ketetapan supaya UMNO menarik diri dari Kerajaan Perpaduan.
Dr. Akmal menambah, UMNO tidak meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhaim membawa cadangan mengeluarkan UMNO dari Kerajaan Perpaduan dalam mesyuarat Kabinet.
"Sebab kita sedar sama ada kekal atau keluar itu adalah keputusan parti bukan keputusan kerajaan dan keputusan parti adalah keputusan yang dibuat oleh parti sendiri," jelasnya.

0 Ulasan