Ketua PKR Cabang Kota Samarahan, NaziroI Samaail meluahkan perasaan kecewa terhadap sikap kepimpinan tertinggi parti yang didakwanya tidak mengambil peduli nasib ahli ketika berdepan musibah banjir baru-baru ini.
Dalam kenyataan media semalam, beliau memohon maaf kepada seluruh ahli parti, khususnya mereka yang terkesan dengan bencana alam tersebut.
Menurut Nazirol, ramai ahli sedang bergelut menyelamatkan harta benda dan nyawa ketika musim tengkujuh, namun beliau sendiri tidak mampu menghulurkan bantuan seperti yang diharapkan kerana turut menjadi mangsa.
"Rumah saya sendiri ditenggelami air sehingga memaksa saya dan keluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," ujarnya.
Beliau berkata, perkara yang lebih menyedihkan bukanlah kehilangan harta benda, tetapi sikap dingin pihak kepimpinan tertinggi parti yang langsung tidak bertanya khabar sepanjang beliau berada di penempatan sementara.
"Jangankan bantuan, bertanya khabar pun tidak," katanya.
Nazirol turut mempersoalkan keprihatinan parti terhadap kebajikan ahli biasa jika seorang ketua cabang pun diabaikan.
"Fikirkanlah sedalam-dalamnya: Jika saya sebagai ketua cabang yang memegang jawatan penting di peringkat ini pun diabaikan sepenuhnya oleh parti ketika ditimpa musibah, apatah lagi nasib anda sebagai ahli biasa?
"Jika kebajikan seorang ketua pun tidak dipedulikan, adakah suara dan kesusahan ahli di akar umbi akan didengari?" katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar ahli saling membantu sesama sendiri tanpa terlalu bergantung kepada parti.
"Bantulah sesama kita: Jika ada jiran atau ahli yang terkesan, hulurkanlah tangan mengikut kemampuan sendiri. Kita hanya ada sesama kita sekarang.
"Jangan berharap pada janji: Cukuplah saya menjadi saksi betapa kita sering kali dibiarkan sendirian saat benar-benar memerlukan. Janganlah lagi kita meletakkan harapan yang tinggi kepada parti untuk membela nasib kita di saat sukar.
"Kekal tabah: Kita hanya ada satu sama lain," katanya.
NaziroI turut berdoa agar semua dilindungi daripada bencana yang lebih besar dan diberi kekuatan untuk bangkit semula.
"Saya berdoa agar Allah SWT melindungi kita semua daripada bencana yang lebih besar dan memberi kekuatan kepada kita untuk bangkit semula tanpa perlu bergantung kepada mereka yang hanya nampak kita ketika musim pilihan raya sahaja," katanya.

0 Ulasan