Cubaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengangkat semula tokoh yang pernah dipersoalkan sendiri oleh rakan gabungan mereka membuktikan satu perkara yang jelas gabungan politik itu sedang mengalami ketandusan kepimpinan dan idea baharu.
Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani berkata, ironinya, individu yang sebelum ini meletakkan jawatan dan pernah didesak supaya berundur oleh pimpinan gabungan sendiri, kini mahu dijadikan simbol kestabilan politik PN.
Menurut beliau, situasi itu menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan PN untuk menawarkan kepimpinan yang diyakini rakyat.
"Realitinya, PN tidak sedang membina masa depan, sebaliknya terperangkap dalam politik kitar semula tokoh yang sama, naratif yang sama, pendekatan yang sama," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ashraf berkata, dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran peluang pekerjaan, PN masih bergelut dengan isu dalaman dan rundingan jawatan sesama sendiri.
"Ini bukan reformasi politik, ini bukan pembaharuan kepimpinan, ini adalah manifestasi krisis arah tuju sebuah gabungan politik. "Malaysia tidak boleh terus diheret ke dalam kitaran politik lama yang gagal memberikan penyelesaian sebenar kepada rakyat," jelasnya.
Beliau berkata, negara memerlukan kepimpinan yang berprinsip, segar dan berpaksikan rakyat bukan kepimpinan yang lahir daripada kompromi politik dan keperluan kuasa semata-mata.

0 Ulasan