Balu Daim nafi tuduhan cuba guling kerajaan

 

Berikut adalah terjemahan kenyataan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid pada 27 Februari 2025:

Saya sangat terkejut apabila membaca laporan polis yang difailkan oleh seorang individu, yang mendakwa penglibatan saya dalam cubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Individu yang membuat laporan tersebut telah mendekati saya dan menawarkan perkhidmatannya pada Julai 2025 sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi yang dicadangkan.

Disebabkan prestasi kerjanya yang lemah, khidmat beliau telah ditamatkan. Selepas itu, beliau cuba membuat tuntutan kewangan baharu.

Jelas sekali, ini adalah tindakan seorang yang tidak berpuas hati.

Bukan sahaja kandungan laporan polis itu palsu dan tidak masuk akal, malah waktunya — muncul 7 bulan selepas mesyuarat yang didakwa berlaku itu dan sejurus selepas salah satu skandal terbesar yang dihadapi kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim — menunjukkan cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada desakan yang semakin meningkat supaya individu yang telah diamanahkan itu, bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali, untuk memimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disingkirkan.

Artikel pertama oleh Bloomberg mengenai penyalahgunaan kuasa dalam SPRM oleh Perdana Menteri dan Azam Baki sekitar September 2024 mendahului mesyuarat yang didakwa dirujuk oleh individu itu dalam laporannya lebih 10 bulan. Apakah konspirasi yang boleh wujud apabila Bloomberg telah pun mendedahkan penyalahgunaan kuasa berkaitan SPRM dan Anwar jauh sebelum mesyuarat yang didakwa itu?

Dakwaan bahawa saya cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan adalah melucukan dan mengingatkan kepada tuduhan-tuduhan lama mengenai usaha menjatuhkan kerajaan yang pernah dihadapi oleh perdana menteri sendiri, ketika beliau pernah mengisytiharkan mempunyai “angka yang kukuh” untuk merampas kuasa. Tidak seperti beliau, pada bila-bila masa pun saya tidak terlibat, mempertimbangkan, atau menyokong sebarang usaha untuk menggugat atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih.

Tambahan pula, bagaimana seseorang menjatuhkan kerajaan dengan bantuan media antarabangsa, atau dalam hal ini, firma perhubungan awam? Jika itu keadaannya, kerajaan-kerajaan sebelum ini sentiasa bertukar ganti.

Sejak bila tindakan mendapatkan nasihat perhubungan awam profesional menjadi satu jenayah, terutamanya apabila berhadapan dengan kuasa yang tidak terkawal sebuah agensi yang dipimpin oleh individu yang tercemar dengan skandal dan masih mendapat sokongan penuh perdana menteri?

Pendedahan terbaharu oleh Bloomberg hanya mengukuhkan lagi ketidakpercayaan orang ramai terhadap dakwaan perdana menteri kononnya beliau memerangi rasuah. Ia mengesahkan keterikatan antara kuasa politik, kepentingan korporat, dan institusi penguatkuasaan, dan kini secara mengejutkan, mafia korporat.

Walaupun saya berasa tersanjung dengan dakwaan bahawa saya berada di sebalik laporan penyiasatan oleh Bloomberg, saya tidak mahu mengambil kredit daripada mereka yang benar-benar menggunakan kemahiran dan bakat kewartawanan mereka untuk mendedahkan dakwaan mengejutkan yang menyelubungi ketua pesuruhjaya SPRM.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk mencadangkan bahawa saya berada di belakang laporan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah satu penghinaan terhadap para wartawan yang terlibat.

Dengan menggunakan agensi penguatkuasaan dalam keadaan yang sarat dengan kepentingan politik, kerajaan hanya mengesahkan teras utama laporan Bloomberg itu bahawa kuasa institusi sedang diperalatkan.

Akhir sekali, adalah tidak masuk akal untuk mencadangkan bahawa menegur rasuah dan penyalahgunaan kuasa di peringkat tertinggi kerajaan merupakan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan. Saya mengekalkan semua hak undang-undang saya berhubung dakwaan palsu dan memudaratkan ini.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan