Tindakan disiplin demi menyelamatkan Bersatu - Muhyiddin

 

Berikut adalah kenyataan penuh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Februari 2026:

Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Mesyuarat ini membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan Bersatu susulan tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa orang ahli parti.

Tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada di dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh.

Ia bukanlah suatu tindakan yang diambil secara sewenang-wenangnya terutamanya apabila melibatkan pemimpin kanan parti.

Sebelum tindakan disiplin diambil, usaha-usaha telah dilakukan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat.

Namun, usaha ini tidak berhasil.

Malah terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan untuk memecah-belahkan parti dan menggagalkan matlamat perjuangan parti.

Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Bersatu terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangannya yang sebenar.

Saya dan ramai lagi yang terlibat dalam perjuangan parti Bersatu sejak dari awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selama bertahun-tahun saya mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri.

Saya juga telah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada orang-orang yang saya tahu menentang saya.

Saya bersangka baik demi satu tujuan iaitu untuk memastikan parti Bersatu terus Bersatu-padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan dan matlamat perjuangan parti yang murni.

Malangnya usaha saya ini telah tidak dihargai oleh mereka. Malah, tindakan-tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti dan disiplin parti dilakukan secara berterusan.

Jika dibiarkan perbuatan ini akan merosakkan parti dan mengecewakan ahli-ahli parti yang setia dengan perjuangan parti.

Oleh itu, saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan Bersatu bertekad bahawa sudah sampai masanya proses disiplin parti yang termaktub di dalam perlembagaan Bersatu hendaklah diambil untuk menyelamatkan parti.

Ini adalah satu tindakan yang perlu diambil dan merupakan pilihan yang terbaik pada masa ini dalam usaha untuk memulihkan perpaduan parti dan menyelamatkan parti.

Maka, Mesyuarat Khas MPT Bersatu pada hari ini bersepakat untuk terus mendokong perjuangan Bersatu, membina semula parti, memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli dan memperkuatkan parti untuk menghadapi PRU-16.

Mesyuarat MPT Bersatu juga telah sebulat suara bersetuju untuk melantik YB Datuk Dr. Mohd. Radzi bin Md. Jidin dan Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Saya dengan ini menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang sementara barisan kepimpinan Bersatu yang bersama-sama saya pada hari ini mengemudi parti kembali ke landasan perjuangannya yang asal untuk membela nasib rakyat.

Saya yakin dengan semangat kebersamaan ahli-ahli Bersatu dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita akan dapat mengharungi apa jua cabaran dan dugaan yang melanda parti.


BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan