Sekretariat Tangkap Azam Baki mengambil keputusan untuk sekali lagi turun ke jalan raya bagi menuntut siasatan yang lebih menyeluruh dan telus terhadap isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki dan mafia korporat yang terpalit sehingga menjejaskan reputasi dan integriti SPRM.
Katanya, kedua-dua isu itu sehingga ke hari ini belum ada penjelasan yang jelas, telus dan tuntas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani.
Sekretariat itu berpandangan bahawa jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kabinet Madani hanyalah satu lagi taktik untuk melengah-lengahkan dan mengalih perhatian rakyat daripada terus mengikuti perkembangan siasatan jawatankuasa tersebut.
"Buktinya sehingga kini belum ada apa-apa pengumuman daripada jawatankuasa ini walaupun sudah sebulan mereka ditubuhkan.
"Hari ini pendedahan demi pendedahan dibuat, masih belum kelihatan tindakan konkrit yang diambil yang dapat meredakan kebimbangan rakyat bahawa institusi penguatkuasaan negara benar-benar menjalankan fungsi mereka.
"Baik SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terpalit dalam skandal-skandal salah laku ini, terutama berkaitan mafia korporat di mana agensi penguatkuasaan negara dituduh ditunggang oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan tembolok mereka sendiri," katanya dalam kenyataan media pada 30 Mac 2026.
Sekretariat itu berkata, rakyat sudah mual dan muak dengan kelaihan kerajaan yang culas dalam menangani isu korupsi melibatkan Azam dan isu mafia korporat yang sepertinya berdarah daging dan berakar banir bersama Azam.
"Hari ini kita membuat keputusan bahawa kerajaan sudah tidak faham bahasa lagi melainkan bahasa jalan raya.
"Bahasa jalan rayalah bahasa yang akan menjadi cambuk mendesak mereka melakukan apa yang betul dan tidak membiarkan institusi seperti SPRM terkontang-kanting sementelah integriti mereka terhakis hari demi hari," katanya.
Justeru, Sekretariat Tangkap Azam Baki mengajak semua rakyat untuk turun bersama ke jalan raya pada 25 April 2026 di Dataran Merdeka bagi menunjukkan perasaan nurani serta amarah rakyat terhadap tindakan lembab kerajaan dan Perdana Menteri.
Mereka akan turun dengan tiga tuntutan:
- Menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tuduhan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan negara. Tangkap Azam Baki dan reformasi SPRM secara total.
- Jamin kebebasan bersuara kepada CSO, aktivis masyarakat, ahli akademik dan seluruh rakyat yang memberi kritikan terhadap isu rasuah dan salah laku.
- Bergerak ke arah demonstrasi ini, Sekretariat Tangkap Azam Baki akan mengadakan jelajah di beberapa buah negeri yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi menggerakkan rakyat untuk turun ke jalan raya.
"Kami sekali lagi mengajak semua rakyat untuk sama-sama turun bersolidariti menunjukkan kesatuan suara membersihkan korupsi di Malaysia.
"Hidup rakyat! Merdeka!" tegasnya.

0 Ulasan