Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengecam sekeras kerasnya insiden kematian tragis akibat dilanggar oleh pemandu mabuk yang berlaku baru-baru ini di Jalan Raya Barat, Klang.
Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kejadian menyayat hati itu bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang telah meragut nyawa insan tidak berdosa.
Sehubungan itu, menurut beliau, PEMBELA menyatakan komitmen untuk menawarkan khidmat perundangan secara pro bono kepada keluarga mangsa.
"Ini termasuk nasihat guaman, pemantauan rapi prosiding kes, serta representasi di mahkamah bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
"Ia juga bagi mendapatkan pampasan yang dibenarkan oleh undang-undang akibat kecuaian tersebut," katanya dalam kenyataan media pada 30 Mac 2026.
Zainul Rijal berkata, PEMBELA menegaskan bahawa perbuatan memandu dalam keadaan mabuk adalah satu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, sebarang bentuk kelonggaran atau layanan lunak terhadap pelaku hanya akan menghantar mesej yang salah kepada
masyarakat dan membuka ruang kepada lebih banyak tragedi seumpamanya.
"Meminum minuman memabukkan perlu dikawal dengan lebih tegas lagi.
"Premis yang menawarkan minuman yang memabukkan ini juga perlu bertanggung jawab secara kediri menegah pelanggan mereka memandu dalam keadaan mabuk," tegasnya.
Zainul Rijal berkata, PEMBELA mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang paling tegas di bawah undang-undang, termasuk memastikan pendakwaan dijalankan secara segera dan menyeluruh serta hukuman yang setimpal dikenakan.
Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian adalah pengkhianatan terhadap keadilan dan keselamatan awam.
"Nyawa yang telah hilang sudah pasti tidak akan kembali. Namun, keadilan tidak boleh dikompromi. Pada masa ini keluarga mangsa perlu dibantu agar kesusahan yang dihadapi dapat diringankan.
"Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan konsep ‘diyat’ bagi meringankan kesusahan keluarga mangsa," katanya.

0 Ulasan