Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut agar dihukum mati jika sabit kesalahan.
Beliau berpandangan, sudah tiba masanya hukuman itu dilaksanakan.
"Sudah sampai masa, orang yang mabuk, memandu, langgar orang sampai mati, patut DIHUKUM MATI !!!
"Titik," tegasnya dalam hantaran Facebook pada 30 Mac 2026.
Afnan Hamimi berkata, pemandu mabuk tidak sepatutnya berada di atas jalan raya.
"Nak mabuk, mabuklah sorang-sorang. Nak minum satu lori sampai pecah perut terkeluar usus pun takpa. Tak ada siapa kisah. "Susah sorang-sorang, sakit sorang-sorang, mati sorang-sorang!
"Masalahnya, dahlah mabuk, memandu pulak. Langgar orang, mati.
"Bila kamu mabuk, kamu memandu, maksudnya kamu sengaja nak jadi PEMBUNUH!" katanya.
Menurut beliau, perbuatan mabuk dan melanggar orang bermaksud seperti sengaja membunuh orang lain yang tak berdosa, orang yang tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Ini pembunuh yang celaka! Orang yang bunuh orang lain secara sengaja tanpa sebab patut dihukum bunuh balas!
"Nyawa diganti dengan nyawa! Ini hukum dalam Islam," katanya.
Afnan Hamimi menambah, sekiranya keluarga mangsa memaafkan pembunuh, pembunuh wajib membayar ‘diyat’ (denda) kepada keluarga mangsa serta menjalani hukuman penjara.
Beliau berkata, dalam undang-undang jenayah yang diamalkan ketika ini, hakim yang menentukan keputusan, bersalah atau tidak.
"Kalau bersalah, jatuh hukum. Kalau tidak, terlepas bebas. Keluarga tiada hak dalam membuat keputusan. Hanya boleh lantik peguam mewakili mangsa.
"Namun dalam undang-undang Islam, hakim dan keluarga ada hak masing-masing.
"Hakim, membicarakan kes. Keluarga, ada hak untuk yang memberi maaf atau tidak. Hakim perlu tanya keluarga, beri maaf atau tidak.
"Jika dimaafkan, tidak dikenakan hukuman bunuh balas. Hanya bayar denda dan penjara (ikut keputusan hakim). Jika keluarga tak maaf, maka bunuh balas. Nyawa diganti nyawa. Ini kaedah Islam. Adil," katanya.

0 Ulasan