2 ahli PKR didakwa minta wang perlindungan diarah letak jawatan

 

Biro Politik PKR Wilayah Persekutuan mengarahkan PKR Cabang Wangsa Maju supaya segera memaklumkan kepada dua ahlinya iaitu R. Vijeyndran dan G. Paarthiydasan supaya melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dengan serta-merta.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, tindakan itu diambil berikutan isu video tular membabitkan mereka yang didakwa meminta “wang perlindungan” daripada sebuah premis perniagaan.

"Langkah ini adalah untuk memberi laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis dan siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan media pada 27 Mac 2026.

Beliau menambah, parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa. 

Tegasnya, keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri.

Azman berkata, Biro Politik juga menyarankan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memantau aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju dengan lebih teliti. 

"Ini bagi memastikan tiada aktiviti yang melanggar peraturan, undang-undang atau lesen premis pada masa hadapan," jelasnya.

Beliau berkata, Biro Politik mengarahkan Jawatankuasa Disiplin PKR Wilayah Persekutuan untuk menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan melaporkan dapatan kepada Biro Politik dalam masa terdekat.

"Biro Politik mengingatkan semua ahli dan wakil PKR bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah amanah rakyat yang mesti dipegang dengan penuh integriti. 

"Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi," tegasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan