Hantaran FB Najib tidak bertujuan fitnah Dzulkefly

 

Berikut adalah kenyataan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 9 April 2026:

Saya merujuk kepada hantaran Facebook saya bertarikh 24 Ogos 2020 serta saman sivil yang kemudiannya difailkan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung perkara tersebut.

Saya mengambil maklum bahawa aduan beliau di mahkamah adalah bahawa hantaran saya itu didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, Puan Nurul Iman, ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 dan ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1 Oktober 2018. Saya menerima bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak beliau.

Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran tersebut tidak bertujuan untuk memfitnah, dan juga tidak bertujuan untuk membayangkan bahawa plaintif adalah korup atau terlibat dalam nepotisme serta kronisme. Sebaliknya, ia bertujuan untuk menonjolkan persepsi mengenai standard berganda dalam kalangan parti-parti politik.

Hantaran tersebut diterbitkan pada masa berkenaan semata-mata dalam kapasiti dan tanggungjawab saya sebagai seorang Ahli Parlimen. Maksud sebenar dan niatnya adalah untuk berfungsi sebagai ulasan politik umum mengenai isu-isu tadbir urus, pentadbiran, dan pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan, yang merupakan perkara perbincangan awam aktif serta perdebatan politik.

Walaupun hantaran saya adalah suatu bentuk ulasan politik, saya mengakui kesusahan yang telah ditimbulkan terhadap beliau dan keluarganya, yang sama sekali bukan niat saya.

Dalam semangat untuk bergerak ke hadapan secara konstruktif, saya ingin mengucapkan yang terbaik kepada Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam khidmat beliau yang berterusan kepada rakyat dan negara, serta saya menghulurkan ucapan ikhlas kepada beliau dan keluarganya.







Catat Ulasan

0 Ulasan