Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong masih cuba menegakkan benang basah dengan mempertahankan cadangannya agar darurat diisytiharkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan.
Beliau turut meminta semua pihak yang membantah cadangan itu agar jangan bersikap sombong atau memberi syarahan kepada orang lain tentang 'maruah'.
"Jaga diri sendiri terlebih dahulu. Pepatah Melayu ada mengatakan, 'meludah ke langit, terkena muka sendiri'.
"Sama ada seseorang itu masih memegang jawatan Exco atau tidak, itu bukan isu utama kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada 16 April 2024.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu turut mempersoalkan sama ada sesuai untuk mengadakan pilihan raya sekarang.
Menurut beliau, dunia sedang berdepan dengan krisis geopolitik yang serius, yang telah membawa kepada masalah bekalan tenaga dan bahan api, malah berpotensi menyebabkan kenaikan kos makanan dalam masa terdekat.
Kata Poay Tiong, krisis itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan memberi kesan besar kepada rakyat dan perniagaan.
"Dalam keadaan sebegini, adakah wajar untuk mengadakan pilihan raya negeri, apatah lagi apabila terdapat spekulasi bahawa ia mungkin diadakan seawal bulan Jun atau Julai tahun ini?
"Ini akan mengalihkan sumber, masa dan tenaga daripada perkara yang lebih penting.
"Jelas sekali jawapannya adalah tidak, kerana terdapat keutamaan lain yang lebih mendesak," jelasnya.
Beliau barkata, cadangan untuk mengisytiharkan darurat hanyalah salah satu pendekatan yang dikemukakan, berdasarkan pengalaman ketika pandemik COVID-19.
"Jika ia tidak sesuai, kita boleh berbahas dan mencari alternatif lain — contohnya menunggu sehingga keadaan global kembali stabil sebelum mengadakan pilihan raya.
"Tambahan pula, pilihan raya negeri sebenarnya hanya wajib diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2027, jadi mengapa perlu tergesa-gesa?" soalnya.

0 Ulasan