Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal.
Menurut beliau, langkah itu adalah taktikal untuk menang.
"Kalau menang itu membolehkan pula dibentuk kerajaan yang lebih stabil dan kuat maka apa salahnya PRN Johor diawalkan.
"Apatah lagi itu beri peluang kepada kerajaan negeri lebih fokus memaju negeri dan membela rakyat," katanya dalam hantaran Facebook pada 15 April 2026.
Mohd. Puad berkata, 'feel good factor' amat jelas sekali di Johor.
Menurut beliau, insiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) amat meluas dan sampai ke semua lapisan masyarakat serta sudah memasuki fasa 4.
"Terbaharu, suri rumah tidak bekerja, penggali kubur dan warga emas akan menerima BKJ," jelasnya.
Mohd. Puad berkata, Johor merupakan satu-satunya negeri memberi insentif RM500 kepada semua penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu seperti guru, anggota polis, tentera dan jururawat.
"Johor sudah tentu tidak mahu naratif negatif di pusat terpalit merosakkan 'feel good factor' di negeri.
"Semua tahu PMX menjadi defensif bukan sahaja pasal dasar, janji, dulu cakap lain sekarang lain tetapi juga perang saudara PMX-Rafizi.
"Sebab itu kalau Johor mengadakan PRN lebih awal bukan kerana tidak prihatin dengan beban rakyat tetapi tidak mahu terpalit dengan masalah orang lain. Biar 'Johor cara Johor' membela rakyat negerinya." katanya.
Menurut beliau, PRN Johor sebelum ini yang diadakan lebih awal pada Mac 2022 telah membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil dan bersatu.
Katanya, hasilnya pelaburan Johor mencecah RM120 bilion dan hasil negeri meningkat kepada RM2.5 bilion pada 2025.
"Semua itu dipulangkan kepada rakyat melalui BKJ untuk ringankan beban rakyat," katanya.

0 Ulasan