PAS turut berkongsi pandangan yang serupa dengan UMNO agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak ditangguhkan dan terus dilaksanakan seperti yang dijadualkan.
Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, sebarang usaha untuk menangguhkan PRN boleh dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan.
Menurut beliau, dalam sebuah negara demokrasi, mandat rakyat adalah asas utama dan hak rakyat untuk memilih pemimpin tidak wajar disekat atas alasan yang tidak munasabah.
"Justeru, saya menegaskan bahawa PRN perlu diteruskan mengikut jadual bagi memastikan proses demokrasi dihormati dan suara rakyat terus terpelihara.
"Kepimpinan yang berintegriti seharusnya bersedia untuk diuji di hadapan rakyat, bukan mencari alasan untuk menangguhkan proses tersebut," katanya dalam kenyataan media pada 15 April 2026.
Terdahulu, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan supaya PRN yang semakin hampir ditangguhkan menerusi pengisytiharan darurat berikutan krisis ekonomi yang melanda negara ketika ini.
Ahmad Bilal berkata, cadangan itu hadir dalam keadaan di mana momentum politik semasa menunjukkan perubahan sokongan rakyat yang semakin ketara.
Menurut beliau, berdasarkan perkembangan terkini, terdapat kecenderungan bahawa parti-parti dalam kerajaan, khususnya UMNO, bakal berdepan penyusutan kerusi yang signifikan.
Katanya, pada masa yang sama, sokongan terhadap DAP dan PKR, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina, dilihat semakin terhakis akibat kekecewaan terhadap situasi ekonomi dan pentadbiran semasa.
"Alasan yang diberikan bagi menyokong penangguhan PRN adalah faktor ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik.
"Namun demikian, alasan ini menimbulkan persoalan serius apabila dibandingkan dengan pendirian pihak yang sama ketika pelaksanaan darurat pada tahun 2021 semasa pandemik COVID-19," jelasnya.
Ahmad Bilal mengingatkan, ketika itu, darurat dikritik hebat dan dilabel sebagai langkah politik untuk menyelamatkan kerajaan.
Namun hari ini, beliau berkata, cadangan penangguhan pilihan raya dalam keadaan negara yang stabil tanpa sekatan besar menimbulkan persepsi bahawa tindakan tersebut mempunyai motif politik yang serupa.
"Perlu ditegaskan bahawa situasi semasa tidak boleh disamakan dengan era pandemik.
"Sistem pentadbiran negara kini berfungsi seperti biasa tanpa keperluan sekatan pergerakan atau larangan perhimpunan awam," katanya.

0 Ulasan