LRT3: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar

 

Berikut adalah titah perutusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 1 Julai 2026:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur Alhamdulillah, Beta ingin menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya dapat direalisasikan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Pertama sekali, Beta ingin memberi penghargaan (credit) kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana mendengar titah Beta agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Beta masih ingat, titah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dahulu, Beta telah memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan Beta itu. Ia susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang Beta terima daripada surirumah (housewives) mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan khususnya. Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk. Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Dato’ Seri Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018.

Apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 ini tergendala lebih 18 bulan, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021. Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama penasihatnya Tony Pua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek 

"Mega” sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat. Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta.

Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran Guan Eng (DAP) dan Tony Pua (DAP) juga, saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan. Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan.

Namun, Alhamdulillah apabila YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta. Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan Syabas Beta ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beta berharap pembukaan LRT3 ini berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya yang tinggal di Klang dan Shah Alam dan bekerja di Kuala Lumpur. Beta juga berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.

Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata. Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

Akhir sekali, Beta berharap kemudahan infrastruktur LRT3 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan