Berikut adalah kenyataan penuh Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 November 2026:
1. Kami mewakili Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak (“anak guam kami”). Pada 6 November 2026, Jabatan Peguam Negara (“AGC”) telah mengeluarkan satu kenyataan media yang mendakwa bahawa tahanan di rumah anak guam kami “ditangguhkan buat sementara waktu” (“Kenyataan AGC”). Kami menolak Kenyataan AGC tersebut.
2. Bagi mengelakkan sebarang keraguan, anak guam kami masih belum meninggalkan Penjara Kajang. Proses melepaskan beliau untuk menjalani tahanan di rumah sedang berjalan apabila Kenyataan AGC itu dikeluarkan.
SETIAP SYARAT TAHANAN DI RUMAH TELAH DIPENUHI
3. Fakta-fakta berikut tidak dipertikaikan:
(a) pada 18 September 2026, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim telah berkenan menitahkan agar anak guam kami menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah di kediaman beliau, tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta (“Perintah Pengampunan”);
(b) pada 6 November 2026, denda tersebut telah dijelaskan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; dan
(c) Mahkamah Tinggi kemudiannya telah mengeluarkan perintah bermeterai kepada Pegawai yang Menjaga Penjara Kajang, yang memberi kuasa agar anak guam kami dilepaskan dengan serta-merta (“forthwith”) berhubung perintah denda tersebut (“Perintah Mahkamah”).
PENGUMUMAN KERAJAAN SENDIRI
4. Pada 18 September 2026, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, selaku urus setia Lembaga Pengampunan, telah mengumumkan Perintah Pengampunan secara terbuka. Siaran medianya menyatakan bahawa anak guam kami akan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta. Siaran itu tidak membangkitkan apa-apa persoalan interpretasi.
5. Perlu ditegaskan bahawa frasa yang kini dikatakan oleh AGC menimbulkan “persoalan perundangan” itu ialah perkataan Kerajaan sendiri, sebagaimana yang disiarkan dalam pengumuman tersebut. Selama tujuh (7) minggu, AGC tidak membangkitkan sebarang persoalan tentang perkataan itu, sehinggalah denda dibayar.
KEDIAMAN ANAK GUAM KAMI DIWARTAKAN SEBAGAI PENJARA PADA HARI INI
6. Pada 6 November 2026, hari yang sama Kenyataan AGC dikeluarkan, Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan, di bawah seksyen 3 Akta Penjara 1995, semua bangunan dan kawasan di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, 50480 Kuala Lumpur, iaitu kediaman anak guam kami, sebagai “suatu penjara bagi maksud Akta bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah” (P.U. (B) 456). Perisytiharan itu disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan, yang diterbitkan oleh AGC sendiri.
7. Hal ini penting. Di sisi undang-undang, kediaman anak guam kami kini ialah sebuah penjara di bawah Akta Penjara 1995, yang terletak di bawah kuasa Komisioner Jeneral Penjara. Memindahkan anak guam kami ke sana tidak mengeluarkan beliau daripada jagaan sah. Ia hanya memindahkan beliau dari satu penjara yang diwartakan ke satu penjara lain yang juga diwartakan, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda.
8. Oleh itu, adalah tidak logik bagi AGC untuk menegaskan, pada hari yang sama Warta mengisytiharkan kediaman anak guam kami sebagai penjara, bahawa beliau mesti kekal di Penjara Kajang sementara AGC mendapatkan penjelasan. Walau apa pun kebimbangan AGC tentang kesan Perintah Pengampunan, kebimbangan itu bukan alasan untuk menahan anak guam kami di satu penjara dan bukan di penjara yang satu lagi.
PENDIRIAN PEGUAM NEGARA SENDIRI
9. Sepanjang tujuh (7) minggu yang lalu, Peguam Negara telah menyatakan secara konsisten dan terbuka bahawa pembayaran denda ialah satu-satunya perkara yang masih menghalang anak guam kami daripada menjalani tahanan di rumah. Beliau tidak membangkitkan apa apa sekatan lain, mahupun apa-apa kesukaran dalam mentafsirkan Perintah Pengampunan.
10. Perlu juga diingat bahawa Peguam Negara ialah anggota Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan, dan beliau turut hadir dalam mesyuarat pada 18 September 2026 yang mempersembahkan nasihat kepada Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan ini. Sekiranya beliau mempunyai apa-apa kebimbangan tentang terma-terma Perintah Pengampunan, mesyuarat itulah tempat yang sewajarnya untuk membangkitkannya. Sebaliknya, AGC membangkitkannya buat kali pertama hanya selepas denda dibayar.
PERINTAH PENGAMPUNAN WAJIB DILAKSANAKAN
11. Perintah Pengampunan ialah titah Seri Paduka Baginda yang nyata. Titah itu menetapkan satu syarat sahaja, iaitu pembayaran denda, dan syarat itu telah dipenuhi berhubung denda tersebut. Kenyataan AGC sendiri mengakui bahawa Perintah Mahkamah memperuntukkan pelepasan anak guam kami untuk menjalani tahanan di rumah di kediaman beliau. Itulah yang dikehendaki oleh Perintah Pengampunan dan Perintah Mahkamah, dan itulah yang wajib dilaksanakan dan telah pun dilaksanakan. Dakwaan Peguam Negara bahawa wujud kekeliruan berhubung perintah Mahkamah Tinggi pada hari ini tidak bermerit, dan kekeliruan itu diwujudkan oleh beliau sendiri.
12. “Dua interpretasi” yang dibangkitkan oleh AGC berkaitan dengan kesan Perintah Pengampunan. Walau apa pun pandangan AGC mengenai persoalan itu, AGC tidak berhak enggan melaksanakan terma yang nyata dalam sesuatu Pengampunan Diraja sementara AGC masih meneliti pendiriannya.
13. Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan prerogative pengampunan diraja Seri Paduka Baginda. Pendirian Peguam Negara pada masa ini, sekurang-kurangnya, merupakan suatu penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda, malah mungkin juga suatu penderhakaan.
14. Kami melihat Kenyataan AGC sebagai suatu tindakan mengetepikan titah Seri Paduka Baginda. Tiada apa-apa dalam kenyataan itu yang boleh menjadi asas untuk terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang.
15. Begitu juga, rujukan AGC kepada kes 1MDB tidak mengubah apa-apa. Kes itu sedang melalui prosidingnya sendiri, termasuk rayuan yang masih belum diputuskan. Hukuman penjara dalam kes itu tidak boleh berkuat kuasa selagi hukuman penjara dalam kes SRC belum selesai dijalani, dan kes itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kewajipan AGC untuk melaksanakan Perintah Pengampunan dalam kes SRC. Pendirian anak guam kami mengenai kesan undang-undang Perintah Pengampunan secara keseluruhan dan mengenai hukuman beliau adalah terpelihara sepenuhnya.
AGC TIADA KUASA UNTUK MENGGANTUNG ATAU MENANGGUHKAN PENGAMPUNAN DIRAJA
16. Kuasa pengampunan terletak pada Seri Paduka Baginda semata-mata. AGC sendiri telah mengatakan demikian secara terbuka pada Disember 2025, dengan menyatakan bahawa kuasa pengampunan itu tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana pihak lain.
17. Perintah Pengampunan ditujukan kepada Komisioner Jeneral Penjara, bukan kepada Peguam Negara. Tiada apa-apa dalam Perkara 145(3) yang membenarkan Peguam Negara menangguhkan sesuatu pengampunan diraja atau sesuatu perintah mahkamah yang bermeterai, dan Kenyataan AGC tidak memetik mana-mana peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa sedemikian. Sekiranya AGC benar-benar mempunyai persoalan mengenai Perintah Mahkamah, saluran yang betul ialah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, bukan mengeluarkan kenyataan media. AGC menganggap dirinya berkuasa menangguhkan titah Seri Paduka Baginda melalui kenyataan media. Pada pandangan kami, ini merupakan tindakan eksekutif yang melampaui batas kuasanya.
18. Kami berani menyatakan bahawa oleh sebab titah Seri Paduka Baginda dan perintah Mahkamah Tinggi pada hari ini ditujukan kepada pihak berkuasa penjara, tanggungjawab atas sebarang ketidakpatuhan terhadap titah dan perintah tersebut akan terpikul sepenuhnya di bahu pihak berkuasa penjara. Namun, tidak mustahil Peguam Negara atau pihak politik di peringkat yang lebih tinggi akan menafikan bahawa mereka telah mengarahkan pihak berkuasa penjara untuk bertindak sedemikian.
19. Justeru, memandangkan denda telah dijelaskan, apa-apa keputusan untuk terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang atas dasar Kenyataan AGC adalah tidak mengikut undang-undang dan bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
TUNTUTAN KAMI
20. Kami menggesa:
(a) Komisioner Jeneral Penjara supaya menyempurnakan pelepasan anak guam kami untuk menjalani tahanan di rumah tanpa berlengah lagi;
(b) Peguam Negara supaya menarik balik Kenyataan AGC dengan serta-merta; dan
(c) AGC, sekiranya masih mempunyai apa-apa persoalan mengenai Perintah Mahkamah, supaya membawanya ke Mahkamah Tinggi, dan kami akan menjawabnya di sana. Sementara itu, AGC tidak boleh menahan anak guam kami di Penjara Kajang.
21. Setiap syarat yang ditetapkan oleh Seri Paduka Baginda telah dipenuhi, dan tiada alasan yang sah di sisi undang-undang untuk anak guam kami terus berada di Penjara Kajang walau sesaat lagi. Oleh itu, kami menuntut agar anak guam kami dilepaskan dengan serta-merta untuk menjalani tahanan di rumah di kediaman beliau, sebagaimana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda dan diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi. Segala hak anak guam kami adalah terpelihara.

0 Ulasan