Jom kitar semula





SEREMBAN 25 Nov. - Sedarkah anda, setiap hari orang ramai di negeri ini membuang 1,161 tan metrik sampah dan jumlah tersebut terus meningkat pada kadar dua hingga tiga peratus setahun.

Sekiranya ia dibiarkan berlarutan, tapak-tapak pelupusan sampah di sekitar negeri ini dijangka tidak lagi berupaya menampung pertambahan mendadak bahan buangan pada masa akan datang.

Lebih membimbangkan lagi, timbunan sampah boleh menghasilkan gas rumah hijau seperti metana dan karbon dioksida yang penyebab utama kepada pemanasan global kini.

Menyedari kesan buruk sampah terhadap alam sekitar, syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di negeri ini, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) giat menjalankan aktiviti kitar semula bagi menangani isu berkenaan.

Pengurus SWM Negeri Sembilan, Dr. Al Ashari Othman berkata, kira-kira 30 hingga 40 peratus bahan buangan seperti plastik, logam, kertas dan kaca boleh dikitar semula.

Menurut beliau, tempoh penggunaan tapak pelupusan boleh dilanjutkan sekiranya orang ramai mengitar semula bahan-bahan buangan tersebut.

``Secara keseluruhan, kesedaran kitar semula di kalangan rakyat negeri ini masih boleh dipertingkatkan," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Al Ashari, SWM dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi pendidikan telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk memupuk kesedaran kitar semula di kalangan masyarakat.

Beliau memberitahu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan merangkumi taklimat, ceramah, pameran, pertandingan, kem kitar semula serta kutipan bahan kitar semula dari rumah ke rumah.

Selain itu, ujarnya, SWM turut mengendalikan sebuah pusat pertukaran kitar semula berhampiran pusat membeli-belah Jaya Jusco Seremban 2 di sini.

``Orang ramai boleh membawa bahan kitar semula ke pusat tersebut untuk ditukarkan dengan wang tunai pada setiap Sabtu, mulai pukul 2 hingga 6 petang.

``Di samping itu, terdapat sebuah lagi pusat kitar semula yang dikendalikan melalui kerjasama penduduk Taman Oakland dekat sini yang dibuka setiap Sabtu minggu pertama dan ketiga, mulai pukul 9 hingga 11 pagi," kata Al Ashari.

Menurut beliau lagi, orang ramai boleh mengambil kesempatan menambah pendapatan dengan menjual bahan buangan tertentu kepada 29 pusat kitar semula kendalian PBT di seluruh negeri.

Ujarnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) negeri turut berganding bahu bersama SWM bagi menjayakan program kitar semula.

Al Ashari berkata, syarikat-syarikat swasta dalam sektor perkilangan serta perladangan di negeri ini memberi reaksi positif dalam menjayakan pelbagai inisiatif bagi membudayakan amalan kitar semula di kalangan pekerja.

``Kempen pengumpulan tong racun serangga anjuran Jabatan Pertanian negeri dengan kerjasama SWM yang dilaksanakan baru-baru ini menerima sambutan menggalakkan daripada pihak pengurusan ladang," jelasnya.

Ujar beliau, setiap anggota masyarakat di negeri ini seharusnya berusaha membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka.

Al Ashari menjelaskan, kempen kitar semula memerlukan kesinambungan dari segi pelaksanaan serta kerjasama bersepadu semua pihak.

``Tanya pada diri kita sendiri... apakah kita tergamak mewariskan bumi yang ditimbuni sampah-sarap kepada anak dan cucu kita kelak?

``Jawapannya bergantung kepada kesungguhan kita hari ini mengitar semula bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dicemari," katanya.

(Utusan Malaysia, 26 November 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan