Dongeng Tengku Zafrul masuk PKR taktik kerajaan gred D alih perhatian rakyat - Fadhli

 


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, 'saga' kemasukan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke PKR menunjukkan Kerajaan Perpaduan semakin terdesak mencari jalan untuk mengalih perhatian rakyat.

Menurut beliau, hebat sungguh naratif itu seolah-olah ia satu pencapaian besar untuk negara. 

Ahmad Fadhli berkata, rakyat diajak menonton episod drama politik yang tiada nilai tambah kepada kehidupan mereka. 

Hakikatnya, beliau berkata, itu merupakan gaya kerajaan yang kering idea, menggunakan ‘wayang politik’ sebagai helah untuk sembunyikan kelemahan sendiri.

"Apakah sebenarnya yang cuba disembunyikan? Pertama, titah adendum yang semakin membongkar kebejatan proses pengampunan Datuk Seri Najib Razak. 

"Kedua, kegagalan kerajaan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merujuk Tun Dr Mahathir kepada siasatan pihak berkuasa. 

"Dua isu besar yang sepatutnya menjadi perhatian rakyat, tetapi kerajaan memilih untuk menayangkan 'kisah dongeng' PKR-Zafrul," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ironinya, kata Ahmad Fadhli, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh bangga mengumumkan 'perbincangan awal' dan 'pendekatan terbuka' seolah-olah rakyat peduli. 

Beliau memberitahu, realitinya, tiada rakyat yang akan mendapat sebarang manfaat dengan kemasukan seorang menteri dari kerajaan gagal ke dalam PKR. 

"Apa gunanya ‘mesra’ dengan semua orang jika keperitan rakyat di bawah tidak pernah dibela? Adakah kerajaan gred D ini tiada agenda untuk rakyat? 

"Nampaknya begitulah. Isu kos sara hidup yang semakin mencengkam, harga barang yang melambung, kebajikan penjawat awam di luar negara yang terabai – semuanya tiada dalam radar kerajaan. 

"Sebaliknya, kita dihidangkan dengan berita sensasi dan ‘politik kosmetik’ untuk mencipta ilusi perubahan," jelasnya.

Ahmad Fadhli berkata, rakyat sudah bosan dengan taktik lapuk seperti itu dan drama 'Zafrul masuk PKR' tidak lebih dari sekadar cakap-cakap kosong yang bertujuan mengalih perhatian daripada isu sebenar. 

"Kerajaan ini semakin hari semakin hilang hala tuju, dan rakyat semakin sedar bahawa mereka sedang diperbodohkan dengan cerita politik picisan.

"Kalau inilah strategi kerajaan, tidak hairanlah mereka hanya layak digelar kerajaan GRED D – “D for Distraksi”," katanya.


BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan