![]() |
Apakah nasib Kampong Bharu pada masa akan datang sekiranya pindaa URA diluluskan? Gambar hiasan: FB Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu |
Cadangan kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA), termasuk penurunan ambang persetujuan pemilik hartanah daripada 100 peratus kepada 80 peratus, menimbulkan pelbagai kebimbangan terutama melibatkan hak penduduk asal di kawasan bandar.
Meskipun tujuan utama RUU ini adalah untuk menangani keusangan dan memperbaharui kawasan bandar, implikasi sosial dan ekonomi yang bakal dihadapi penduduk tidak boleh dipandang ringan.
Penurunan ambang persetujuan ini berpotensi menghakis hak pemilik hartanah sedia ada, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang mungkin kehilangan tempat tinggal tanpa persetujuan penuh.
Sebelum ini, syarat persetujuan 100 peratus telah terbukti mampu memastikan pembangunan dijalankan secara adil tanpa meminggirkan sesiapa, seperti yang dibuktikan menerusi projek 1Razak Mansion di Kuala Lumpur.
Justeru, menurunkan ambang ini membuka ruang kepada risiko pemindahan paksa, sekali gus menjejaskan kestabilan hidup komuniti bandar.
Dari segi ekonomi, pembangunan baharu yang menggantikan perumahan mampu milik lazimnya menawarkan unit kediaman pada harga yang jauh lebih tinggi.
Keadaan ini akan menyebabkan penduduk asal, khususnya golongan B40, tidak mampu memiliki rumah baharu di lokasi yang sama.
Akibatnya, mereka terpaksa berpindah ke pinggir bandar, yang bukan sahaja meningkatkan kos sara hidup dan pengangkutan, tetapi juga menjauhkan mereka daripada peluang pekerjaan dan kemudahan awam di pusat bandar.
Selain itu, penurunan ambang persetujuan turut meningkatkan risiko eksploitasi oleh pemaju yang mungkin lebih mementingkan keuntungan berbanding kebajikan penduduk.
Dengan hanya memerlukan 80 peratus persetujuan, pemaju boleh memanfaatkan tekanan ekonomi untuk memujuk pemilik yang enggan menjual hartanah mereka, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan kuasa antara pemilik dan pemaju.
Situasi ini bertentangan dengan prinsip keadilan sosial yang sepatutnya menjadi teras dalam sebarang usaha pembangunan semula bandar.
Dari sudut sosio-budaya, pemindahan penduduk asal secara besar-besaran boleh menyebabkan kehilangan identiti dan ikatan komuniti yang telah lama terbina.
Kawasan-kawasan seperti Kampong Bharu di Kuala Lumpur misalnya, bukan sekadar penempatan fizikal, tetapi juga lambang warisan dan sejarah masyarakat Melayu bandar.
Sekiranya RUU ini diluluskan tanpa mekanisme perlindungan yang mencukupi, pembangunan semula boleh mengubah landskap sosio-budaya bandar sehingga menghakis nilai tradisi yang menjadi tunjang kepada identiti sesebuah kawasan.
Sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen wajar menolak penurunan ambang persetujuan dalam URA demi melindungi hak dan kesejahteraan penduduk asal.
Sebarang pembangunan semula perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan persetujuan penuh pemilik hartanah agar tidak timbul isu pemindahan paksa dan penyingkiran komuniti asal.
Pembangunan yang mampan bukan sekadar membina bangunan baharu, tetapi mestilah memastikan kesejahteraan sosial dan ekonomi penduduk terus terpelihara.
0 Ulasan