Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh membantah hasrat kerajaan untuk menurunkan ambang persetujuan pembangunan semula bandar kepada 80 peratus.
Beliau menegaskan, syarat sedia ada yang memerlukan persetujuan penuh daripada semua pemilik tanah atau hartanah perlu dikekalkan kerana terbukti berkesan tanpa menghalang pembangunan sebelum ini.
"Kalau tengok dulu pun, ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), kita dah bangunkan Kuala Lumpur daripada tiada apa-apa sehingga menjadi cantik seperti hari ini.*
"Tapi kita pakai akta yang mewajibkan persetujuan 100 peratus. Kalau dulu boleh buat, kenapa sekarang tak boleh?
"Kalau YB Menteri (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming) nak buat, pertama sekali kita tidak setuju menurunkan ambang persetujuan," katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) memaklumkan akan menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar bagi melindungi hak pemilik asal dan memastikan pembangunan bandar yang mampan.
Kor Ming berkata, akta baharu itu bertujuan menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan kebimbangan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyuarakan kebimbangan mengenai nasib orang Melayu bandar yang berisiko terpinggir.
Mengulas lanjut, Dr. Akmal tidak menolak keperluan pembangunan semula kawasan bandar, namun meminta kerajaan memberi jaminan bahawa pindaan akta itu tidak akan meminggirkan golongan berpendapatan rendah.
"Saya nak tanya YB Menteri, kalau rumah flat bawah RM200,000 seperti di Wangsa Maju dirobohkan untuk pembangunan baharu, boleh tak pastikan rumah yang dibina nanti masih dalam julat harga yang sama? Jangan sekadar bina kondominium yang hanya mampu tengok.
"Kalau rumah yang dibangunkan jauh lebih mahal, siapa yang mampu beli? Mestilah bukan golongan miskin bandar. Akhirnya mereka terpaksa berpindah jauh ke luar bandar, jauh dari tempat kerja," ujarnya.
Beliau turut menegaskan pembangunan semula bandar boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan hak pemilik asal, sebagaimana dibuktikan menerusi projek 1Razak Mansion di Kuala Lumpur.
"Alhamdulillah, di situ dibangunkan rumah mampu milik yang sekurang-kurangnya membolehkan mereka membeli aset di dalam bandar dan kekal dekat dengan tempat kerja.
"Jadi, saya mohon ahli-ahli Parlimen perhalusi akta ini sebelum dipersetujui," katanya.
0 Ulasan