Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng yang menuduh PAS sebagai parti yang ‘membodohkan rakyat’ kerana menentang Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai dangkal dan cetek pemahaman.
Menurut Ahmad Fadhli, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah menunjukkan DAP gagal memahami implikasi sebenar akta tersebut terhadap rakyat biasa.
Beliau menegaskan, menentang akta yang membenarkan kerajaan dan pemaju merampas hak rakyat bukan kebodohan, sebaliknya tanggungjawab untuk memastikan keadilan tidak dikorbankan demi kepentingan golongan tertentu.
“Betapa mudahnya liberal berfikir apabila fakta yang menyanggah mereka diketepikan. Kononnya kami antipembangunan, tetapi hakikatnya kami menentang penindasan yang bertopengkan kemodenan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
URA yang didakwa bertujuan membangunkan bandar secara teratur dan memberikan keselesaan kepada rakyat, sebaliknya membolehkan kerajaan dan pemaju mengambil tanah serta rumah penduduk walaupun tanpa persetujuan penuh pemilik asal.
Hanya persetujuan 75 peratus pemilik unit dalam sesebuah bangunan diperlukan untuk membolehkan pengambilan tanah, meninggalkan 25 peratus yang menolak terpaksa mengalah.
“Sejak bila demokrasi membenarkan majoriti menindas minoriti? Sejak bila kerajaan boleh memaksa rakyat melepaskan rumah tanpa persetujuan mutlak? Ini bukan kemajuan, ini rampasan hak bertopengkan pembangunan,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa urusan pengambilan tanah tidak diserahkan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli, sebaliknya diberikan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melibatkan pemaju dan pengambil alihan tanah.
Ahmad Fadhli mendakwa, URA lebih memihak kepada pemaju berbanding rakyat.
Beliau berkata, sejarah membuktikan projek pembangunan semula seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sering berakhir dengan penduduk asal kehilangan hak milik, digantikan projek mewah yang tidak mampu mereka beli.
“Jika benar ini untuk kesejahteraan rakyat, mengapa rakyat dipaksa serahkan rumah? Kenapa pemaju dan syarikat besar yang selalu untung besar?
"Rakyat miskin tak mampu beli unit baru yang ‘dijanjikan’, akhirnya kawasan dikuasai golongan kaya, bukan penduduk asal,” katanya.
Beliau menambah, jika pembangunan itu telus dan adil, undang-undang tanah sedia ada sudah memadai tanpa perlu akta baharu yang memudahkan pemaju mengambil alih tanah dengan persetujuan separa.
Menolak tuduhan Lip Eng, Ahmad Fadhli menegaskan PAS tidak menentang pembangunan, tetapi memperjuangkan keadilan agar rakyat tidak menjadi mangsa skim yang memihak pemaju.
“PAS tidak membodohkan sesiapa. Kami mahu pembangunan tanpa merugikan hak rakyat, tanpa tanah mereka digadaikan kepada pemaju besar yang hanya berminat menukar kawasan kos rendah jadi kondominium mewah,” ujarnya.
Beliau menggesa rakyat supaya tidak tertipu dengan nama indah Akta URA, yang katanya bukan soal pembangunan tetapi kuasa mengawal tanah bandar.
“Jika kerajaan ikhlas bela rakyat, perkenalkan skim pemilikan yang menjamin penduduk asal kekal memiliki hak, bukan memudahkan pemaju merampas tanah,” tambahnya.
Ahmad Fadhli juga mencabar penyokong akta ini untuk menilai semula pendirian mereka.
“Tanya diri anda, anda sokong pembangunan atau usaha pemaju untung besar dengan mengorbankan hak rakyat? Siapa sebenarnya yang ‘membodohkan’ rakyat?” soalnya.
0 Ulasan