Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua pihak agar bertanggungjawab dan tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan ahli Jawatankuasa HARMONI demi mengelak timbulnya kegelisahan awam.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap hantaran di media sosial yang cuba ditularkan berhubung keahlian jawatankuasa tersebut.
Beliau menjelaskan, Jawatankuasa HARMONI bukanlah sebuah jawatankuasa baharu sebaliknya telah beroperasi sejak 14 Ogos 2020 selepas penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang ditubuhkan pada 2010 hingga 2019.
“Bilangan keanggotaan dan komposisi jawatankuasa ini adalah sama sejak Januari 2021 iaitu melibatkan 10 wakil Islam dan 15 wakil bukan Islam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sirajuddin memaklumkan, fungsi utama jawatankuasa itu adalah mencadangkan kepada kerajaan pelaksanaan strategi yang sesuai berteraskan nilai-nilai murni keagamaan bagi meningkatkan kefahaman serta keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai agama.
Selain itu, katanya, jawatankuasa tersebut turut melaksanakan aktiviti kesedaran dan keharmonian secara bersama demi manfaat masyarakat.
“Sehubungan itu, JAKIM menyeru semua pihak agar bertanggungjawab dan tidak memanipulasi isu keanggotaan Jawatankuasa HARMONI untuk tujuan tertentu yang boleh menimbulkan kegelisahan awam,” katanya.
0 Ulasan