Hebat taktik pelaburan KWSP, rugi besar pun dikira tak rugi

 


Penganalisis politik, Lim Sian See menyindir taktik pelaburan yang digunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam transaksi jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Hebat betul taktik pelaburan KWSP. Rugi besar pun boleh dikira tak rugi," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menurut Sian See, walaupun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sendiri mengesahkan KWSP menjual saham MAHB pada harga murah dan kemudian membeli semula pada harga hampir dua kali ganda lebih mahal, namun perkara itu tetap dianggap tidak merugikan.

"Kenapa? Sebab ia dianggap sebagai dua pelaburan berbeza yang dibuat oleh bahagian KWSP yang berbeza.

"Jadi logiknya, satu bahagian KWSP jual murah itu satu pelaburan, dan satu lagi bahagian KWSP beli balik mahal itu pula pelaburan lain yang berbeza - biarpun melibatkan saham yang sama, organisasi yang sama, dan duit pencarum yang sama," katanya.

Terdahulu, Amir Hamzah berkata, KWSP mencatat jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023 selepas penjualan dan pembelian saham MAHB.

Menurutnya, saham MAHB dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, sekali gus menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

Beliau berkata, prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi terbabit.

"Tuduhan KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas, dan ini jelas ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu.

"Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP mencatat keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

"Ia berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah," katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah menambah, tawaran sukarela oleh konsortium yang turut dianggotai KWSP untuk pengambilalihan semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 sesaham, juga merupakan pelaburan baharu jangka panjang dana persaraan itu.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan