Arahan pengosongan Kg Sg Baru cabul hak penduduk - Pemuda PAS

 

Gambar: FB Ahmad Amzad Hashim

Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan bahawa arahan pengosongan Kampung Sungai Baru sebelum 26 Mac ini bukan sekadar pemindahan biasa, tetapi satu bentuk pengusiran tanpa nilai kemanusiaan yang mencabul hak penduduk tempatan.  

“Tanpa rundingan yang adil dan penyelesaian yang saksama, mereka dipaksa meninggalkan kediaman yang telah diwarisi turun-temurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan pihak berkuasa yang telah mengepung kawasan itu sebelum tempoh akhir yang ditetapkan, sehingga menimbulkan kesan psikologi kepada penduduk.  

“Lebih menyayat hati, sebelum tempoh akhir yang ditetapkan, kawasan ini telah dipagarkan, seolah-olah menahan penduduk dalam ruang yang semakin mengecil.  

“Keadaan ini menyebabkan mereka menyamakan Kampung Sungai Baru dengan ‘Little Gaza’ kerana ditekan, dizalimi, dan dinafikan hak oleh pihak berkepentingan,” ujarnya.  

Menurut Afnan Hamim, Kampung Sungai Baru bukan sekadar tempat tinggal, tetapi sebahagian daripada sejarah dan warisan bangsa yang harus dipertahankan.  

“Kampung ini bukan sekadar rumah bagi penduduk, tetapi sebahagian daripada sejarah dan warisan bangsa.  

“Tanah ini adalah Tanah Rizab MAS, dan pemiliknya mempunyai geran yang sah. Hak mereka sepatutnya lebih utama berbanding kepentingan pemaju yang hanya mencari keuntungan semata-mata,” katanya.  

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menyeru anak muda untuk turun menyatakan solidariti bersama penduduk pada tarikh pengosongan tersebut.  

“Penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Penduduk Kampung Sungai Baru memerlukan kita semua.  

“Saya menyeru kepada semua anak muda di luar sana untuk sama-sama kita turun ke Kampung Sungai Baru pada tarikh 26 Mac 2025 ini bagi menyatakan solidariti kita kepada nasib yang bakal menimpa mereka.  

“Biar putih tulang jangan putih mata, membujur lalu melintang patah! Mereka tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian lagi, ayuh anak muda yang berani, kita pertahan dan bangkit bersama,” tegasnya.

BACA LAGI


MENARIK






Catat Ulasan

0 Ulasan