Berikut adalah kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar hari ini:
Politik Malaysia tidak akan melangkah kehadapan jika pihak pembangkang, khususnya PAS yang berterusan menghasut rakyat melalui himpunan “Turun Anwar” dengan menjadikan isu cukai SST, penyasaran subsidi, dan tarif elektrik sebagai modal politik jalanan.
Langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan, termasuk penyasaran subsidi dan semakan struktur cukai SST, bukan bertujuan menyusahkan rakyat tetapi menyelamatkan negara daripada terus dibebani ketirisan dan pemborosan yang diwarisi sejak dahulu.
Kita tidak boleh terus hidup dengan subsidi pukal yang turut dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing. Itu bukan keadilan. Itu kebocoran. Maka penyesuaian dilakukan supaya bantuan hanya sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Pembangkang, khususnya PAS, tiada sebarang pelan ekonomi yang realistik untuk rakyat. Di negeri yang mereka kuasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bekalan air terus dalam krisis, dan peluang pekerjaan terhad.Pengurusan dan Pembanggunan negeri pun sebahagian dibantu oleh Kerajaan Persekutuan. Tapi mereka mahu tunjuk pandai dalam hal ekonomi negara.
Tunjuk perasaan ini bukan menggambarkan suara rakyat sebenar sebaliknya penggemblengan ahli parti yang taksub kepada pemimpin. Ini adalah strategi politik untuk gugat kestabilan negara dan hancurkan segala usaha pemulihan ekonomi yang sedang berjalan dengan membakar emosi dan sentimen ahli dan penyokong tegar PN/PAS Ketika pelabur asing kembali yakin, ketika inflasi terkawal, ketika negara sedang bangkit mereka mahu bawa Malaysia ke kancah ketidakstabilan semula.
Saya yakin rakyat menolak politik jalanan ini. Rakyat tak nak biarkan negara kita dijadikan bahan eksperimen politik sempit dan emosi tanpa fakta.
Politik bukan sekadar jeritan di jalan raya. Politik adalah keberanian membuat keputusan yang sukar demi masa depan rakyat dan negara.
0 Ulasan