Berikut adalah hantaran Instagram Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid hari ini:
Saya ingin memberikan pandangan yang mungkin tampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi besar maknanya bagi saya secara peribadi.
Media sering memilih untuk menggunakan frasa “Anak Zahid” dalam tajuk atau laporan berita yang melibatkan saya, dan bukannya menyebut nama penuh saya sendiri, Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Saya sedar siapa Abah saya, dan saya bangga menjadi anak kepada Ahmad Zahid bin Hamidi.
Namun pada masa yang sama, saya juga seorang individu yang berdikari, punya pendapat sendiri, prinsip sendiri, dan identiti sendiri.
Setiap insan wajar dikenali dan dihormati atas nama dan usaha mereka sendiri.
Saya tidak menolak kenyataan bahawa nama Abah saya sering dikaitkan, tetapi apabila media terus-menerus menggugurkan nama saya sendiri dan menggantikannya hanya dengan label "anak Zahid", ia secara tidak langsung menghilangkan pengiktirafan terhadap peranan, kerjaya, dan pandangan saya sebagai individu.
Saya percaya media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat, adil dan menghormati identiti setiap orang, tidak kira siapapun ahli keluarganya.
Saya tidak pernah minta dipandang tinggi dan dihormati tetapi gunalah nama saya (untuk penulisan) – Nurulhidayah Ahmad Zahid – dengan penuh etika, seperti mana media menyebut nama individu lain yang menyuarakan pandangan atau terlibat dalam kerja masyarakat, politik atau sosial.
Saya yakin dengan menggunakan nama individu dalam penulisan yang beretika, kita sedang memupuk budaya integriti, profesionalisme dan ketepatan dalam pemberitaan.
Saya tidak pernah menafikan siapa ayah saya. Tetapi saya juga tidak akan membiarkan nama saya sendiri dipadamkan.
0 Ulasan