Berikut adalah kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Abdullah hari ini:
Serangan politik yang paling konsisten terhadap PAS datang daripada DAP. Mereka cuba membentuk persepsi bahawa PAS tidak mesra masyarakat bukan Islam, khususnya masyarakat Cina.
Setelah tidak lagi bersama dalam kerjasama politik, DAP menggambarkan PAS sebagai eksklusif, ekstrem, bahkan menakutkan.
Sebelum ini, sewaktu kita berada dalam gabungan yang sama, PAS digambarkan sebagai moderat dan terbuka.
Tetapi sebaik sahaja DAP menarik diri, nada mereka berubah, dan PAS menjadi sasaran serangan berterusan.
Malangnya, sebahagian masyarakat termakan dengan naratif ini. Khususnya masyarakat Cina, yang secara tradisi meletakkan kepercayaan tinggi kepada DAP, menjadikan segala yang datang daripada mereka dianggap benar.
Hakikatnya, apa yang dituduh tidak pernah berpijak pada kebenaran. Tuduhan itu bukan datang dari dalam, tetapi dibentuk oleh pihak yang punya kepentingan politik.
Bukan kerana dasar kita berubah, tetapi kerana kita memilih untuk berdiri sendiri, membawa prinsip yang tidak tunduk kepada tekanan politik luar.
PAS kekal dengan dasar asal. Prinsip kita tidak berganjak. Kita tetap berpegang pada perjuangan Islam yang membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.
Sebab itu sejak dahulu kita tekankan bahawa Islam adalah rahmat bagi sekalian alam, dan PAS pula mendukung gagasan ‘PAS For All’.
Ini bukan retorik. Ia lahir daripada kefahaman bahawa Islam tidak datang hanya untuk satu kaum atau satu kelompok, tetapi untuk seluruh manusia.
Jika ingin melihat bukti, lihatlah Kelantan. Negeri yang diperintah PAS selama lebih tiga dekad ini menjadi saksi kepada keadilan dan keterbukaan yang kita praktikkan.
Masyarakat Cina di Kelantan hidup dengan aman, berniaga dengan bebas, beragama tanpa gangguan, dan menyambut perayaan mereka tanpa halangan.
Tiada kekerasan. Tiada diskriminasi. Tiada penindasan. Inilah wajah sebenar pentadbiran Islam yang dibawa PAS. Tenang, teratur dan mendidik.
Cuma kerana PAS tidak memerintah di peringkat Persekutuan, wajah sebenar ini tidak sampai ke seluruh rakyat.
Lalu wujud jurang maklumat, ditambah pula dengan fitnah yang disebar tanpa tapisan. Jika diberi peluang, insya-Allah, pentadbiran seperti di Kelantan ini akan diperluas ke seluruh negara, dengan pendekatan yang sama, adil, mendidik, dan terbuka.
PAS tidak memilih jalan keras. Kita tidak menghukum. Kita tidak memaksa. Kita mendidik dan membimbing, sesuai dengan jiwa masyarakat.
Pendekatan yang kita amalkan di Kelantan terbukti berjaya kerana ia tidak menekan rakyat, tetapi memberi ruang untuk mereka memahami dan menyesuaikan diri.
Kita pimpin dengan kasih sayang. Kita dekati masyarakat dengan hikmah.
Teruskan bersama saya dalam siri menjernihkan kekeliruan, menjawab persoalan, dan menyingkap kebenaran.
Semoga rakyat akhirnya dapat melihat sendiri, bahawa kebenaran itu tidak terletak pada kata orang, tetapi pada bukti yang nyata.
0 Ulasan