Berikut adalah kenyataan media Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil hari ini:
1) EHati adalah sebuah program pembangunan diri yang ditubuhkan bertujuan untuk memberikan bimbingan khusus kepada wanita yang khususnya sedang mengalami ketidakbahagiaan dalam rumah tangga untuk kembali mendapatkan keyakinan diri dan kebahagiaan. Program tersebut secara umumnya menyentuh berkenaan aspek emosi, keintiman dan pemulihan selepas trauma dalam perhubungan. Walau bagaimanapun, pengisian program tersebut dilihat mempunyai unsur-unsur yang menggugat pegangan akidah umat Islam serta bertentangan dengan maqasid usul akhlak mulia dan diiktiraf oleh setiap manusia tanpa mengira agama.
2) Program ini menyarankan bahawa wanita harus memusatkan kehidupan mereka kepada "diri sendiri" sepenuhnya, tanpa bergantung kepada nilai agama, pasangan, atau keluarga. Dalam Islam, walaupun konsep self-care dan self-love adalah diiktiraf namun mestilah selaras dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta tanggungjawab sosial. Fahaman emosi tanpa bimbingan agama akan menjadi punca kepada kesesatan dan kehancuran hidup. Justeru, peri pentingnya menyatukan antara ilmu psikologi emosi dengan bimbingan wahyu dan syariat Islam.
3) Dalam program tersebut, peserta diajarkan untuk menyayangi diri sendiri tanpa merasakan adanya keperluan untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang lain. Akibat daripada itu, program ni seakan-akan menggalakkan wanita untuk tidak berkahwin dan tidak bersuami kerana mereka mampu mencapai kebahagiaan dan kepuasan nafsu dengan sendiri. Ajaran ini jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW kerana wujudnya penafian terhadap fitrah dan keinginan semula jadi manusia untuk berkahwin sekaligus merencatkan institusi kekeluargaan.
4) Menggunakan unsur-unsur seksual dan mempromosikan masturbasi sebagai bentuk rawatan emosi adalah satu penyelewengan yang nyata. Islam menegaskan perlunya penjagaan maruah dan kehormatan diri. Galakan terhadap aktiviti seksual secara bebas boleh membawa kepada penzinaan, ketagihan seksual dan menghilangkan rasa malu. Masyarakat yang bermaruah terbina atas dasar perasaan malu sebagaimana mafhum hadis yang menyebutkan bahawa malu adalah sebahagian daripada iman. Perasaan malu yang membina akan membentuk ummah yang bertamadun. Bahkan memiliki dan menjual alatan atau bahan-bahan yang memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan moral atau kepentingan awam adalah dilarang dan boleh dianggap satu jenayah di sisi undang-undang negara.
5) Salah satu ajaran yang dibawanya ialah disebut sebagai 'Yoni Massage' diambil daripada falsafah Tantra yang bersumberkan daripada tradisi agama Hindu dan Buddha. Hal ini juga termasuk salah satu fahaman sinkritisme yang diserapkan ke dalam gerakan New Age. Sudah tentu, ia merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan agama Islam kerana melibatkan falsafah yang sesat dan ritual-ritual tertentu, di samping ia bertentangan dengan nilai dan akhlak mulia. Islam tidak menerima pencampuran dengan kepercayaan-kepercayaan asing dengan ajarannya yang suci murni. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agamaku.
(Surah al-Kafirun: 4)
6) Imam al-Tabari menyebutkan bahawa sejak awal golongan kafir Quraisy secara konsisten menentang dakwah Nabi Muhammad SAW. Walaupun begitu, Nabi SAW tetap tegas menolak penyembahan berhala sehingga wujud persaingan yang jelas antara kedua-dua pihak dalam mempertahankan kepercayaan masing-masing. Ketegasan Nabi SAW akhirnya menyebabkan sebahagian orang Quraisy yang mula mempersoalkan kepercayaan mereka sendiri. Lantaran itu, beberapa tokoh utama Quraisy seperti al-Walid bin al-Mughirah, al-'As bin Wail, al-Aswad bin al-Muttalib dan Umayyah bin Khalaf tampil mengusulkan satu bentuk kompromi iaitu mereka mencadangkan agar kedua-dua pihak bergilir menyembah Tuhan masing-masing sebagai jalan damai. Namun cadangan ini ditolak secara langsung melalui penurunan surah al-Kafirun. Hal ini menegaskan bahawa tiada ruang untuk sinkretisme dalam Islam dan akidah tidak boleh dikompromi dengan sebarang bentuk penyembahan selain kepada Allah SWT.
7) Oleh yang demikian, seseorang muslim tidak boleh untuk mempraktikkan ritual agama lain yang mempunyai kepercayaan atau fahaman yang sesat tersendiri, walaupun kemungkinan terdapat manfaat padanya. Hal ini kerana kemurnian akidah dan kesucian agama itu lebih utama dan penting untuk dipelihara berbanding daripada mendapat manfaat yang sedikit itu. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:
Maksudnya: Mengelak daripada kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.
8) Pihak berkuasa agama dan tempatan perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap program yang mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral sebegini. Selain itu, program seperti ini perlu diganti dengan bimbingan emosi dan motivasi daripada pakar yang bertauliah, berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta berasaskan al-Quran dan Sunnah. Teguran kepada ahli motivasi agar sentiasa cakna dengan sebarang intipati program jati diri dan penyediaan modul yang boleh menyesatkan akidah serta meruntuhkan moral dan akhlak.
0 Ulasan