Berikut adalah kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini:
1. Tuntutan 9 MP PKR supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kehakiman diadakan membawa makna 9 MP tersebut yang diketuai oleh Rafizi Ramli sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
2. Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang banyak kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam hal pelantikan hakim kini menjadi seorang suspek yang tidak dapat lari jika RCI ditubuhkan. Sebagai suspek utama Anwar mesti disiasat oleh RCI. Ini adalah implikasi dari tuntutan 9 MP Keadilan sendiri.
3. RCI hanya boleh dibentuk dan mendapat mandat melakukan siasatan sekiranya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kabinetnya bersetuju berbuat demikian dengan terma rujukan seperti yang dituntut oleh 9 MP PKR tersebut. Tanpa persetujuan PM dan Kabinet maka tuntutan 9 MP itu akan menjadi isu yang akan memburukkan lagi imej PM Anwar dan kerajaan pimpinannya. 9 MP PKR tersebut meletakkan Presiden PKR sendiri dalam bahaya. Apa yang 9 MP PKR itu lakukan sekarang seperti meletakkan tengkok Anwar Ibrahim di bawah guillotine seperti dalam Revolusi Perancis.
4. Adalah diakui bahawa 9 MP PKR tersebut telah menimbulkan isu yang sah atau legitimate dan bermerit. Isu kehakiman itu sekarang seperti "elephant in the room". Tindakan 9 MP PKR itu adalah progresif dan radikal serta popular di kalangan rakyat. Tetapi risikonya ada. Adakah 9 MP PKR itu telah bersedia untuk menghadapi PM Anwar Ibrahim tumbang kerana menuntut RCI diadakan? Jika jawapannya Ya, maka jelaslah satu pemberontakan sedang berlaku di dalam PKR itu sendiri.
5. Tidak dinafikan bahawa tindakan 9 MP backbencher kerajaan Madani dari PKR ini adalah satu contoh baik dalam sistem parlimen demokrasi. Tetapi dari segi politik dan parti, tindakan ini bermakna sedang berlaku "revolt" atau penentangan dalaman secara langsung terhadap Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan juga Perdana Menteri yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
6. Anwar Ibrahim sekarang berada dalam keadaan defensive dan kerajaan Madani semakin lemah dan hilang integriti dengan isu kehakiman sekarang ini. Adakah 9 MP PKR telah memikirkan semasak-masaknya kepentingan jangka panjang negara dan rakyat; mempertahankan cita-cita dan idealisme reformasi sebenar dan mengutamakan kepentingan perjuangan politik PKR dan tidak hanya sekadar kepentingan politik peribadi seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim? Jika jawapannya YA, maka tindakan 9 MP PKR tersebut adalah satu cabaran paling serius, paling sengit dan berani datang dari 9 MP yang kebanyakannya adalah senior MP terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti.
7. Tindakan 9 MP PKR ini menunjukkan ramai di kalangan pemimpin PKR terutamanya MP sudah hilang sabar, sudah hilang kepercayaan kerana melihat kerajaan pimpinan PM Anwar Ibrahim telah melakukan banyak kompromi sehingga kelihatan hipokrasi dalam banyak perkara.
8. Apabila PM pulang dari lawatan di luar negara kerana menjalankan tanggungjawab untuk Malaysia dan rakyatnya, maka tugas utama Anwar ialah untuk menangani tuntutan 9 MP PKR itu dengan bijaksana kerana penentangan backbencher ini dalam isu kehakiman bukannya isu kecil. Ini isu yang amat serius. Anwar Ibrahim sedang berhadapan suasana "seperti buku bertemu ruas" di dalam partinya sendiri.
9. Bagaimanapun MP Pasir Gudang masih yakin kepada kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan akan mempertahankan kerajaan pimpinan PM Anwar Ibrahim dan kedudukan Anwar Ibrahim itu sendiri sebagai Perdana Menteri.

0 Ulasan