Berikut adalah kenyataan media Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee hari ini:
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu yang melibatkan penganjuran program motivasi rumah tangga (eHATI).
2. Sehubungan dengan itu, JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri Selangor akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan yang wajar diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
3. Kerajaan MADANI melalui JAKIM secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam. Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat.
4. JAKIM turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.
5. Orang ramai disaran untuk sentiasa bekerjasama dengan JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu-isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak.
0 Ulasan