Berikut adalah kenyataan media Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini:
Perikatan Nasional (PN) mengesahkan sebahagian Ahli-Ahli Parlimen PN (MP-PN) telah menerima sepucuk surat bertarikh 09 Julai 2025 daripada YB Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan yang bertajuk “Sokongan Terhadap Tuntutan Menegakkan Integriti Kehakiman Negara”.
MP-PN pada dasarnya menghargai pendirian YB Rafizi dalam isu Kehakiman negara yang sebahagian besarnya ada persamaan dengan pendirian PN selama ini. Ini termasuklah soal peranan JAC dan kuasa eksklusif YAB Perdana Menteri dalam soal pelantikan hakim-hakim di mahkamah tertinggi.
Walau bagaimanapun dalam hal cadangan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan kemelut badan kehakiman ini, MP-PN mempunyai pandangan yang berbeza atas alasan ianya bukanlah suatu mekanisme yang mencukupi dan berkesan memandangkan ia masih berada di bawah kawalan dan budi bicara penuh Perdana Menteri yang bertindak memberi nasihat kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong.
Pendirian ini juga selaras dengan kenyataan Pengerusi PN, YB Tan Sri Muhyiddin Yasin, bahawa PN tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri di samping ia memerlukan keputusan kabinet yang juga dipengerusikan oleh beliau.
Justeru MP-PN tidak dapat menyatakan sokongan kepada cadangan dan gesaan YB Rafizi dalam hal tersebut. Walau bagaimanapun PN akan menilai apa-apa perkara berkaitan yang mungkin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam sidang Parlimen yang bermula 21 Julai 2025 ini.
0 Ulasan