Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini menegaskan pendirian untuk menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) daripada dibentangkan di Parlimen sehingga rombakan besar dilakukan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira resolusi Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar yang diadakan pada 3 Oktober dengan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, pemaju dan orang perseorangan daripada pelbagai kaum.
“Selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang sedia ada dan tidak diteruskan untuk pembentangan di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mesyuarat turut memutuskan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mewakili parti dalam rundingan serta membawa pendirian UMNO bagi merombak dan menambah baik RUU berkenaan demi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.
Selain itu, UMNO juga menuntut kerajaan melakukan segala usaha memastikan keselamatan serta pembebasan segera tanpa syarat semua sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh rejim Zionis dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla Nusantara.
“UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus konsisten dan tegas membawa suara Malaysia untuk dunia mengiktiraf negara Palestin dan mendesak Rejim Pengganas Zionis-Israel menghentikan kezalimannya dalam operasi penghapusan etnik yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.
0 Ulasan