PAS mendesak kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen berhubung penahanan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla oleh tentera rejim Zionis Israel ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Israel itu merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva, selain menghina usaha kemanusiaan global yang dijamin oleh konvensyen antarabangsa.
“PAS mendesak kerajaan Malaysia supaya segera mengadakan sesi khas sempena sidang Parlimen yang akan bermula 6 Oktober ini bagi membolehkan insiden ini dan isu-isu berkaitan dibahaskan.
"Sekali gus membolehkan satu ketetapan rasmi Parlimen Malaysia dibuat sebagai suara kolektif seluruh rakyat Malaysia oleh para wakil rakyat mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menggesa Wisma Putra bertindak segera melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan serta pembebasan semua rakyat Malaysia dan peserta lain yang ditahan.
Menurutnya, Malaysia juga perlu memimpin inisiatif serantau dengan menggesa ASEAN, OIC dan PBB untuk mendesak Israel menghentikan sekatan dan ancaman terhadap misi kemanusiaan yang sah.
“PAS percaya bahawa Parlimen Malaysia perlu bersikap proaktif dan tidak boleh berdiam diri dalam isu sepenting ini," ujarnya.
Takiyuddin berkata, solidariti kemanusiaan dan pembelaan hak rakyat Palestin adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang kepercayaan.
“Justeru kami menuntut, sekali gus menyokong penuh tindakan tegas dan segera kerajaan dalam isu ini.
"Israel mesti dipertanggungjawabkan dan suara Malaysia mesti jelas didengar di pentas dunia sebagai langkah diplomatik kita dalam membela hak sah rakyat Palestin dan inisiatif kemanusiaan global bagi membantu mereka yang teraniaya.
“Diplomasi bukanlah ketundukan atau kepasrahan, tetapi kesediaan untuk membina persefahaman tanpa menggadai prinsip dan maruah sendiri,” katanya.
0 Ulasan