GSF: Semua 23 aktivis Malaysia ditahan rejim Zionis

 

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan semua 23 wakil Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan pihak berkuasa Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pengesahan rasmi diterima pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia semalam bahawa kesemua delegasi kini berada dalam tahanan.

“Menurut SOP, apabila hubungan dengan mereka terputus dan terdapat visual menunjukkan mereka telah ditahan pihak berkuasa, maka status itu disahkan,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Beliau turut memaklumkan pasukan diplomasi Malaysia di Asia Barat sudah bersiap siaga untuk bertindak sebagai wakil dalam sebarang proses soal siasat atau tindakan susulan melibatkan rakyat Malaysia yang ditahan.

“Pasukan perundangan di Jordan juga berada dalam keadaan siap siaga untuk menjadi wakil dalam sebarang proses berkaitan, kerana itu adalah tanggungjawab mereka,” jelas Sani.

SNCC menambah, wakil konsulat Malaysia di Jordan telah digerakkan lebih awal meskipun masih belum dipanggil secara rasmi oleh pihak Israel.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan seramai 15 delegasi Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan sihat, selamat dan akan dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.

Wisma Putra turut memberi jaminan semua tahanan akan menerima bantuan konsular serta sokongan yang diperlukan bagi memastikan kepulangan mereka ke tanah air berjalan lancar.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan