KDN sokong tindakan tegas PDRM semasa himpunan depan Kedutaan AS

 


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan hak berhimpun secara aman memang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun ia perlu dilakukan secara tertib, berhemah serta mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan keselamatan awam.

Menurut KDN dalam kenyataan media malam tadi, sebarang perhimpunan juga tidak boleh mengganggu ketenteraman masyarakat atau menghalang pihak berkuasa daripada melaksanakan tugas rasmi.

“KDN menyokong sepenuhnya tindakan tegas PDRM yang berpaksikan undang-undang demi menjaga ketenteraman dan keselamatan negara.

“KDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang, menimbulkan gangguan awam atau mencetuskan ancaman keselamatan,” katanya.

Penegasan itu dibuat susulan insiden kekecohan semasa Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian itu, dua peserta himpunan ditahan polis selepas cuba menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga mencetuskan ketegangan. 

Perbalahan kecil yang berlaku mengakibatkan seorang anggota polis cedera ketika bertugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, KDN menggesa semua pihak agar mematuhi peraturan dan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa ketika mengadakan perhimpunan.

Sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan