Batal jemput Trump jika aktivis GSF tidak dibebaskan - Akmal

 


Pemuda UMNO menggesa kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini sekiranya aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), khususnya rakyat Malaysia yang ditahan Israel, tidak segera dibebaskan.

Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, jika jemputan itu diteruskan, Pemuda UMNO di seluruh negara akan mengadakan bantahan besar-besaran terhadap Trump ketika beliau berada di Kuala Lumpur.

“Biar kita berdepan dengan Trump secara terus! Sakiti mereka, sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia! Bebaskan aktivis Global Sumud Flotilla!” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Difahamkan, 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas tentera Zionis di perairan Gaza pagi semalam.

Antara yang terbabit ialah penyanyi, Zizi Kirana di atas kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil di kapal Alma; serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang berada di kapal Sirius.

Turut ditahan penyanyi, Heliza Helmi bersama adiknya, Nur Hazwani Afiqah di kapal Hio, selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad di kapal Grande Blu.

Secara keseluruhan, 23 rakyat Malaysia menyertai misi tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadiran pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara hujung bulan ini.

BACA LAGI 




Catat Ulasan

0 Ulasan